HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 April 2018

MANIFESTO PAS SELANGOR SYOK SENDIRI – ABBAS


Wartawan Watan-Online




Parti Amanah Negara (PAN) menyifatkan manifesto PAS Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai ‘syok sendiri’ serta retorik semata-mata.

Ketua Pemuda PAN Selangor, Abbas Azmi berkata, rakyat di negeri ini tidak akan mengundi PAS kerana mereka sedar undi yang diberikan hanya sia-sia disebabkan PAS ketika ini bergerak bersendirian, sekaligus tidak mampu membentuk kerajaan.

“Manifesto merupakan tawaran kepada rakyat untuk membuat pilihan, namun ia turut melibatkan keyakinan rakyat untuk mengundi parti yang berpotensi membentuk kerajaan.

“Maka apa juga tawaran manifesto PAS Selangor, rakyat akan hanya membaca sahaja dan tidak akan berkesan untuk diterjemahkan dalam bentuk undi.

“Keluarkanlah manifesto yang menjanjikan syurga, bulan dan bintang sekalipun, manifesto PAS akan tinggal catatan yang tidak bermakna serta tanpa hala tuju yang jelas,” katanya kepada Watan Online, pada Isnin.

Sebelum ini, Gagasan Sejahtera (GAGASAN) diterajui PAS melancarkan manifesto ‘Selangor Sejahtera’ yang menawarkan 10 perkara teras, khusus untuk rakyat di negeri ini bagi menghadapi PRU-14.

Antara janji yang ditawarkan dalam 10 perkara teras itu ialah insentif kesihatan dan keanggunan RM150, insentif wanita nersalin (RM150), insentif pemeriksaan kesihatan untuk umur 40 tahun ke atas (RM200) dan bantuan kelangsungan hidup ibu tunggal.

Turut ditawarkan ialah insentif yuran tahunan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), pendidikan percuma bagi sekolah milik kerajaan negeri dan insentif pegawai pengurusan rumah ibadat Islam dan bukan Islam.

Tawaran lain ialah bantuan makanan asasi kepada golongan sasaran secara bulanan, bantuan tambang bas sekolah, skim perlindungan takaful kepada rakyat Selangor dan membina ‘Rumah Selangor Sejahtera’ untuk rakyat berpendapatan rendah.


Tiada ulasan: