Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Ketokohan serta kebolehan Tan Sri Noh Omar lebih diperlukan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di peringkat Parlimen, kata ADUN
Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz.
Johan berkata demikian mengulas pengesahan oleh Noh sendiri bahawa
beliau bukan calon Menteri Besar Selangor jika Umno Barisan Nasional
(BN) berjaya merampas kembali negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH)
dan PAS.
Johan berkata Noh mungkin sudah mengetahui bahawa beliau tidak akan
bertanding kerusi di DUN Selangor sebaliknya ditugaskan menggalas tugas
di peringkat Persekutuan.
"Tan Sri Noh adalah Pengerusi BN Selangor. Dia (boleh) bercakap begitu, mungkin dia tak akan tanding peringkat negeri (DUN).
"Mungkin hari ini dia baru tahu, tapi saya tak pasti mengenai hal itu
sebab perkara ini (calon BN Selangor) belum dibuat keputusan lagi. Tapi
bila beliau sudah buat kenyataan, mungkin beliau sudah mengetahui.
"Mungkin beliau bertanding (di peringkat) Parlimen. Kalau tanding
Parlimen, macamana nak jadi menteri besar?," katanya ketika dihubungi
Antarapos.
Johan berkata banyak pihak tidak boleh menolak betapa Noh sudah bekerja
kuat dan konsisten turun padang membantu rakyat terutama miskin bandar
yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
"Mungkin Presiden lebih memerlukan kebolehan serta ketokohan beliau di Parlimen," katanya.
Johan berkata beliau dan ADUN Umno yang lain sudah sepakat untuk tidak
langsung berbincang soal siapakah calon menteri besar jika menang
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebaliknya menyerahkan tugas itu
sepenuhnya kepada Najib yang juga Presiden Umno.
Tambahnya, ADUN Umno kini hanya fokus kepada mengukuhkan jentera parti
dalam misi menawan kembali Selangor daripada kepimpinan menteri besar,
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Kita dah bertekad bahawa kita tak akan fikir (mengenai siapa calon
MB). Bila Yang Berhormat Presiden memutuskan calon-calon ADUN, mereka
ini sudah ditapis (kebolehan, kemampuan). Jadi biarlah perdana menteri
yang tentukan.
"Bagi kita, agenda tawa balik Selangor. Itu yang kita fokuskan," katanya.
Sumber Antarapos memberitahu senarai nama calon pilihan raya DUN Selangor akan diumumkan minggu depan.
Johan juga diminta mengulas berita sebuah portal yang melaporkan
kononnya Pegawai Khas kepada Najib, Isham Jalil akan dicalonkan sebagai
pengganti Azmin, jika parti itu menang di Selangor.
"Kita tak boleh nak komen benda yang kita tak tahu. Dia calon ke? Saya
calon ke? Kita tak tahu. Tapi kalau dia (berada) dalam senarai calon DUN
Selangor, dia pun ada peluang (jadi menteri besar). Itu saja.
"Cuma saya boleh sahkan, kita tak pernah bincang siapa calon menteri besar Selangor. Itu saya boleh sahkan," katanya.
Isham adalah graduan Universiti Harvard itu antara nama yang mungkin
bertanding di DUN Paya Jaras yang sebelum ini dimenangi PAS.
Pemuda berusia 41 tahun ini sangat berkelayakan dari segi akademik
kerana merupakan lepasan pengajian politik, ekonomi dan undang-undang
dari Universiti Harvard.
Beliau juga pernah menuntut di Wharton School of Business of the
University of Pennsylvania dalam jurusan kewangan dan kini bertugas di
Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan