HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 April 2018

Penduduk Kampung Baru tidak mudah ditipu

Manzaidi Mohd Amin
 
Rumah tradisional yang masih kelihatan di tengah ibu kota ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI
 


KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menolak dakwaan pihak tertentu mengatakan Akta 733 – Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) mempunyai agenda tersembunyi kerajaan.

Beliau menegaskan, dengan wujudnya PKB, tidak ada mana-mana pihak boleh menipu penduduk atau untuk mendapatkan tanah di kawasan itu bagi tujuan pembangunan.

“Mamat (merujuk Penolong Setiausaha Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman) yang tulis (dakwa) tu tak reti (tidak tahu). Dia bukan duduk di Kampung Baru pun.

“Dia memang ada tanah waris, tapi dia tidak duduk di situ. Dia tidak faham. Saya minta dia baca betul-betul Akta Pembangunan Kampung Baru (PKB),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Ekspo Jualan Perumahan Edisi Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Syed Badli pada Jumaat lalu yang mendakwa, Akta 733 yang diluluskan pada tahun 2011 ialah agenda tersembunyi UMNO untuk menguasai tanah penduduk Kampung Baru.

Beliau mendakwa, akta berkenaan memberi kuasa penuh kepada Menteri Wilayah Persekutuan untuk melantik kroni UMNO menganggotai PKB, sekali gus memperuntukan kuasa bagi mengawal segala projek dan pembangunan di Kampung Baru tanpa persetujuan pemilik.

Menurut Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Kampung Baru bukan pemaju, sebaliknya bertindak sebagai agensi penyelaras pembangunan.

“Kalau awak nak bangunkan Kampung Baru ini apa yang awak perlu ada? Awak perlu ada tanah dan tanah pula bukan jenis setinggan. Ia mesti tanah milik individu atau milik pewaris.

“Untuk buat pembangunan, mesti kena dapat persetujuan semua pihak. Kalau 50 peratus setuju, 50 tidak setuju pembangunan tidak dapat dilakukan. Begitu juga kalau 70 peratus setuju, 30 peratus tidak setuju, ia tidak boleh dilaksanakan.

“Kalau awak ada tanah 8,000 kaki persegi, macam mana awak nak bina pembangunan? Tanah tidak cukup? Awak perlu beli tanah di sekeliling kawasan itu terlebih dahulu dan perlu dapatkan persetujuan mereka untuk awak nak bangunkan projek,” katanya sambil menambah, penduduk Kampung Baru tidak mudah ditipu.

Beliau menjelaskan, tanah di Kampung Baru akan tetap kekal berstatuskan tanah orang Melayu kerana tanah itu adalah tanah anugerah Sultan Selangor pada 115 tahun dahulu.

“Kita tak boleh tukar status ini sewenang-wenangnya. Kita boleh buat pembangunan, tapi kalau dia orang setuju,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: