HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 April 2018

TPM umum kenaikan elaun Askar Wataniah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan kenaikan elaun Askar Wataniah dari RM7.80 kepada RM9.80 sejam bagi pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam bagi anggota.
 
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kenaikan elaun itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pegawai dan anggota Askar Wataniah yang juga benteng pertahanan negara.
 
"Saya umumkan bagi pihak Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan elaun Askar Wataniah dinaikkan dengan rasminya.
 
"Pembayaran mulai (tarikh sama) Perdana Menteri umumkan kenaikan elaun RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia), ertinya mana-mana pegawai yang bertugas sebelum tarikh itu harus dibayar penuh mengikut elaun diberikan," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gelombang Askar Wataniah (GAW) Zon Tengah di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA) di sini hari ini.
 
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
 
GAW yang dicetuskan Hishamuddin bertujuan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan belia, pelajar dan Briged Sukarela Khidmat Negara (BSKN) melalui penyertaan mereka dalam Askar Wataniah.
 
Bagi zon tengah itu, seramai 4,000 peserta menyertai GAW yang diadakan selama dua hari berakhir hari ini di sekolah berkenaan.
 
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya turut menyifatkan individu yang cuba mengaitkan pembinaan Kem Hutan Melintang sebagai permainan politik kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah bersifat naif.
 
Katanya, individu yang mengeluarkan kenyataan seperti itu sebenarnya langsung tidak mengetahui mengenai sistem pertahanan negara dan membuat andaian berdasarkan pemerhatian kasar serta cakap-cakap orang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
 
"Sebenarnya mereka naif, tidak tahu strategi Kementerian Pertahanan, kem terdekat adalah di Sungai Besi dan Subang manakala di sebelah utara di Lumut (Tentera Laut Diraja Malaysia) tetapi di tengah-tengah tiada.
 
"Dari segi geostrategi, Bagan Datuk perlu ada Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ia adalah menterjemahkan strategi pertahanan ATM dan ketika ini ia sudah 50 peratus hampir siap.
 
"Ia tiada kena mengena dengan PRU kerana keputusan sudah dibuat sebelum ini, kita nak beritahu puak-puak yang tidak bersetuju dengan ATM, jangan merendahkan tentera termasuk Askar Wataniah dan PLKN (Program Latihan Khidmat Negara," katanya.
 
 

Tiada ulasan: