HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Julai 2018

Asakan penyokong Najib: AG batalkan sidang media

 


Asakan daripada kira-kira 50 penyokong Datuk Seri Najib Razak di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini menyaksikan Peguam Negara,Tommy Thomas membatalkan sidang medianya.

Sidang media itu diadakan selepas bekas perdana menteri itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM42 juta di mahkamah sesyen dan dibacakan terhadapnya sekali lagi di mahkamah tinggi.

Penyokong Najib mula bersorak ‘bahasa Melayu’ ketika Thomas mula memberi kenyataan kepada wartawan dalam bahasa Inggeris.

Laungan "Hidup Najib" dan "Allahuakhbar" juga bergema.

Thomas, akhirnya memutuskan sidang akhbar yang tidak dijadualkan itu tidak berterusan. Adalah difahamkan bahawa beliau akan berjumpa dengan wartawan di dalam bilik kemudian.

Kakitangan polis akhirnya berjaya memujuk kira-kira 50 penyokong Umno itu supaya meninggalkan kawasan berkenaan.

Antara lain, mereka termasuk Ketua Wanita Umno Datuk Seri Noraini Ahmad, anggota majlis tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam dan pelakon Ellie Suriaty.

Thomas setelah dilantik sebagai peguam negara awal bulan ini berjanji akan meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaannya.

Beliau berkata dirinya sudah empat dekad menjadi peguam swasta maka kefasihannya dalam bahasa Melayu tidak berada pada tahap sepatutnya.

Ironinya, sebahagian besar sepanduk dan poster yang dibawa oleh penyokong Najib di luar kompleks mahkamah tertera dalam bahasa Cina dan Inggeris.




Tiada ulasan: