HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Julai 2018

Komponen BN akan bertanding di Balakong, kata Zahid

MALAYSIAKINI

   
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan gabungan itu akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong susulan kematian penyandangnya awal hari ini.

Beliau berkata, perkara itu akan diputuskan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan secara rasmi kekosongan kerusi DUN berkenaan.

"Calon yang akan dipilih kelak akan ditentukan setelah perbincangan mengenai perkara itu pada mesyuarat parti-parti komponen BN.

"Calon-calon yang bertanding akan dipilih daripada nama-nama yang akan dikemukakan oleh parti komponen yang meletakkan calonnya pada PRU Ke-14 lalu," katanya.

Pada PRU14  lalu, MCA meletakkan calonnya di kerusi itu namun tewas apabila hanya berjaya memperoleh 10.9 peratus daripada jumlah undi keseluruhan.

Ketika dihubungi, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata beliau tidak tahu mengenai pengumuman Zahid.

"Saya tak terfikir soalan ini," kata Wee ketika ditanya sama ada MCA akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil berkenaan.

BN hanya mengadakan mesyuarat majlis tertinggi sekali pada 15 Mei lalu.

Sejak PRU pada 9 Mei, bilangan parti komponennya telah berkurang daripada 13 kepada hanya tiga iaitu Umno, MCA dan MIC apabila parti yang lain bertindak keluar daripada gabungan itu.

Bagaimanapun, sama ada MyPPP masih menjadi sebahagian daripada BN masih menjadi tanda tanya.

Wee memberitahu Sin Chew Daily dalam wawancara pada 2 Jun bahawa masa depan BN tidak jelas dan MCA sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

Bagaimanapun, sebagai satu-satunya anggota Parlimen dari MCA, beliau kini duduk di Dewan Rakyat bersama blok BN.

Balakong sebelum ini secara tradisinya merupakan kubu kuat MCA namun parti itu gagal mengekalkan kerusi itu sejak PRU 2008.

Piihan raya kecil di kawasan itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng yang meninggal dunia awal pagi ini akibat kemalangan jalan raya.


Tiada ulasan: