Ahli politik veteran itu berkata, beliau tidak akan mempertahankan jawatannya.
Beliau yang tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan PBS akan datang, bagaimanapun percaya parti berusia 33 tahun itu lebih relevan hari ini berbanding dahulu.
“Perjuangan mesti diteruskan. Kami (PBS) belum selesai. Perjuangan parti kami adalah mulia dan konsep berbilang kaum PBS terbukti diterima rakyat Sabah.
“Kami mendapat sokongan majoriti rakyat Sabah sejak 1985. Perjuangan politik kami yang berbilang kaum bukan sahaja mulia, tetapi tak lapuk dek zaman dan relevan selamanya,” katanya dalam majlis sambutan Aidilfitri di sini, hari ini.
Beliau berkata, persediaan sedang dilakukan menjelang Kongres PBS yang akan diadakan tahun ini.
“Saya tidak akan mempertahankan kedudukan saya sebagai presiden. Majlis Tertinggi dan saya sudah melantik Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (timbalan presiden) untuk menjalankan tugas presiden.
“Saya yakin beliau mempunyai kualiti dan pengalaman untuk memimpin PBS ke era seterusnya.
Saya menyeru semua pemimpin PBS memberi sokongan penuh kepadanya kerana kami bersedia untuk peralihan kepimpinan.”
Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Pairin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Tambunan kalah kepada adiknya, Datuk Jeffrey Kitingan dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Sementara itu, Ongkili yang juga ahli Parlimen Kota Marudu sependapat dengan kenyataan Pairin berhubung perjuangan parti itu.
“Mari terus memperjuangkan perpaduan rakyat Sabah yang berbilang kaum. Ia adalah matlamat mulia dan selepas 3 dekad, PBS membuktikan keikhlasannya dalam usaha ini.”
Katanya, dengan suntikan darah baru dan profesional terlatih, mereka boleh mencipta masa depan baru.
“Tindakan mempertahankan hak negeri akan terus menjadi menu asas perjuangan PBS; dan ke-2 ialah melindungi Sabah daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan