HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Julai 2018

Tomato jadi tarikan PRK Sungai Kandis


Tomato jadi tarikan PRK Sungai Kandis
Suasana hari penamaan calon Dun Sungai Kandis di sekitar kawasan Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, Shah Alam.
 
SHAH ALAM - Suasana hari penamaan calon Dun Sungai Kandis yang berlangsung pagi tadi penuh warna warni dengan pelbagai gelagat pemimpin serta penyokong kedua-dua parti.

Gelombang biru tua dan biru muda ada di mana-mana saja sekitar kawasan Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 yang menjadi lokasi penamaan calon.

Walaupun berlaku sedikit ketegangan susulan desakan penyokong PH terhadap kedudukan penyokong BN yang terlalu hampir dengan pagar dewan, namun ia berjaya diredakan petugas.

Siapa sangka penyokong BN kali ini agak ‘kreatif’ namun berlaku pembaziran apabila menggunakan tomato sebagai modal provokasi yang kemudiannya ada yang dipecahkan dan dibuang ke tanah. Mungkin lebih baik bawa balik campur dalam kari ayam.

Kelihatan juga semangat ditunjukkan salah seorang penyokong PH yang berkerusi roda dan Timbalan Pengerusi Tetap Umno Bahagian Puchong, Suhaimi Adnan yang lengkap dengan busana Melayu menggunakan bendera parti.

Sinar Harian mendapati , warna biru tua kelihatan lebih ‘berat’ sedikit berbanding biru muda mungkin kerana penyokongnya masih bersemangat selepas pemilihan baru-baru ini.

Ramai pimpinan tertinggi Umno yang hadir memberi sokongan kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam termasuk Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hasan; tiga Naib Presiden Umno, pimpinan sayap yang baharu dan pemimpin senior.

Kehadiran pimpinan yang baharu seperti Mohamad, Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad disambut meriah malah ramai yang berebut-rebut ingin merakam gambar kenangan bersama mereka.

Saat mengiringi calon ke dewan, Mohamad sempat menunjukkan aksi nakal apabila kelihatan sengaja mengangkat tangan kepada penyokong PH ketika melalui kawasan mereka. Ternyata aksi Mohamad itu disambut teriakan dan sorakan daripada penyokong PH.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub; Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad serta beberapa pemimpin lain turut kelihatan berbual dengan pimpinan Umno yang hadir.
http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.858909.1532179689!/image/image.jpg
Suasana hari penamaan calon Dun Sungai Kandis di sekitar kawasan Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, Shah Alam.
Malah mereka kelihatan begitu mesra meskipun berbeza ideologi politik. Apa yang kelihatan pada mata kasar, perbezaan ideologi politik bukan penghalang mengekalkan silaturahim antara satu sama lain. Inilah kematangan politik yang sewajarnya dicontohi khususnya penyokong sendiri.

Amat malang apabila pemimpin menunjukkan semangat profesionalisme, sedangkan penyokong kedua-dua saling bertikam lidah sebelum pengumuman penamaan calon.

Apa pun, PRK kali ini dinanti-nanti keputusannya terutama dalam melihat tahap sokongan rakyat selepas menyaksikan 74 hari pemerintahan PH. Jika sokongan semakin berkurang pastinya isyarat kepada kerajaan baharu ada yang perlu dibaiki begitu juga sebaliknya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga penjuru di PRK Sungai Kandis]

Tiada ulasan: