HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Oktober 2018

26 Ahli Parlimen Umno Sedang Diugut – Lokman



Sekurang-kurangnya 26 Ahli Parlimen UMNO dikatakan sedang diugut untuk keluar parti itu dengan menjadi wakil rakyat BEBAS, kata Pengerusi NGO Pemantau Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata, semua Ahli Parlimen itu didakwa sedang ditekan pihak tertentu untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengukuhkan kedudukanya sebagai Perdana Menteri.

“Hanya tujuh hari lagi sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson. Ini bermakna Dr Mahathir juga akan ‘all out’ untuk menarik sekurang-kurangnya 26 Ahli Parlimen UMNO bersamanya sebagai BEBAS tetapi menyokong beliau.

“Adalah penting untuk Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri, sekaligus menguburkan hasrat Anwar menjadi Perdana Menteri walaupun dengan bantuan UMNO dan parti-parti lain,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja UMNO berharap Ahli Parlimen UMNO tidak tunduk terhadap permainan ‘kotor’ serta ugutan pihak tertentu.

“Kepemimpinan dan ahli UMNO perlu sedar bahawa, tiada siapa boleh menangkap atau menghalang kita, jika kita sekadar hadir menyatakan solidariti kita kepada kepimpinan utama UMNO. Usah kita gentar dan takut dengan ancaman mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha menentang rejim Dr Mahathir tidak akan berakhir walaupun UMNO diharamkan.

“UMNO sudah pun bersiap-sedia menghadapi kemungkinan ini dan kita sudahpun menyediakan platform alternatif sekiranya musibah akibat cubaan khianat ini tidak dapat kita elakkan.

“Maksud perjuangan ini tidak semestinya UMNO, tetapi tidak kiralah platform apa yang kita pilih secara berjemaah jika UMNO diharamkan. Apa yang penting, perjuangan ini perlu kita teruskan, lawan tetap lawan,” katanya.

Tiada ulasan: