HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Oktober 2018

Hanipa: Umno macam 'virus', PH 'tidak selera' kerajaan perpaduan

DETIK OFFLINE

 
 
KUALA LUMPUR — Pakatan Harapan (PH) tidak “berselera” membentuk kerajaan perpaduan dengan “parti virus” seperti Umno, tegas Hanipa Maidin.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata isu gabungan dengan Umno boleh merugikan rakan sekutunya tetapi tidak menjejaskan  bekas parti pemerintah itu.

“[...] Umno ini ibarat virus. Justeru itu, bagi saya, hanya pihak yang mungkin tidak siuman sahaja yang mungkin suka hendak bermesra dengan virus,” coretnya di Facebook hari ini.

“Apabila rapat dengan virus, virus tidak rugi apa, partnernya [sekutunya] yang rugi besar.”

Rabu lepas, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Umno berharap dapat membentuk kerajaan perpaduan dengan parti daripada Pakatan Harapan secepat mungkin.

Tambahnya, kerjasama itu boleh dicapai menerusi perjanjian bersama sebelum atau selepas ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.

Namun presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata tiada perbincangan mengenai kerjasama antara PKR dan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan.

“Kita tidak bincang, kita mesti tengok macam mana... takkanlah hendak berkerjasama pula,” katanya, yang juga timbalan perdana menteri.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menegaskan cadangan berkenaan tidak boleh diterima parti tersebut.

“Ini pertama kali saya dengar tentang kerajaan perpaduan Umno dan PH. Saya tidak tahu pasti tentang pendapat pemimpin PH yang lain. Tetapi untuk PPBM, ia tidak boleh diterima,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: