HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Oktober 2018

PRK PD: UNDI PAS DEMI MUAFAKAT PEMBANGKANG



Ahli dan penyokong UMNO Port Dickson wajar memberikan undi kepada calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan tersebut perlu dilakukan demi muafakat politik, sekaligus memperkukuhkan blok pembangkang dalam Parlimen.

“Walaupun jentera dia (UMNO) tidak turun, tetapi demi permuafakatan pembangkang, penyokong dan ahli UMNO perlu memberi undi kepada calon PAS,” katanya ketika dihubungi Watan Online pada Rabu.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO memboikot PRK PD dan melarang ahlinya daripada memberikan sebarang bantuan kepada calon yang bertanding.

Menurut Zahid, UMNO perlu memberi fokus kepada agenda memperkukuhkan parti selain melihat PRK tersebut sebagai merugikan dana rakyat kerana dilakukan demi memenuhi agenda individu tertentu.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai bantuan secara senyap ahli UMNO dalam jentera kempen PAS di Port Dickson, Tuan Ibrahim yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berkata perkara tersebut tidak perlu memandangkan jentera PAS sudah memadai.

“Jentera kempen kita gunakan sepenuhnya jentera parti jadi tidak timbul isu bantuan ahli UMNO.

“Cuma diharapkan undi ahli-ahli UMNO sahaja dalam PRK kali ini. Jika dilihat respon dari segi penerimaan masyarakat juga sangat baik dan kita maklum sebahagian (masyarakat) itu adalah pengundi UMNO,” katanya.


Tiada ulasan: