Datuk Seri Anwar Ibrhim mengharapkan kemenangan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Oktober nanti.
Presiden PKR itu bagaimanapun mengakui sukar mendapat jumlah undi besar kerana berdepan enam calon yang lain.
“Mana saya nak letak muka kalau pada 13 Oktober nanti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umum saya menang dengan majoriti 200 undi.
“Maka dengan itu, kalau yang ada anak tinggal di Lembah Klang atau Johor Bahru atau mana-mana saja di luar Port Dickson, suruh mereka pulang mengundi.
“Kali ini saya perlukan bantuan saudara semua, lepas ini saya pula bantu saudara,” katanya dalam ceramah ketika berkempen di Kampung Arab di Port Dickson, Selasa, malam.
Anwar turut menyifatkan lima calon Bebas yang turut bertanding pada PRK kali ini seakan cuba menghalangnya daripada menang selesa.
“Mereka yang letak calon Bebas ini cuma nak memalukan saya sebab tidak mahu saya menang dengan bergaya,” katanya.
Anwar yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, memilih untuk bertanding di Port Dickson dengan aspirasi memajukan lagi kawasan setempat.
Antara pesaing utamanya ialah anak tempatan yang juga bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, atas tiket Bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan