RANGKUMAN PRK PD | Kempen pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang masuk hari keempat mula menyaksikan beberapa 'serangan' calon bebas yang bertanding.
Calon bebas, Stevie Chan Keng Leong hari ini mengemukakan lima soalan untuk dijawab oleh calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim
Lima persoalan yang ditujukan kepada Anwar adalah seperti berikut:
- Mengapa tidak bertanding di kerusi Parlimen Pandan yang disandang oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail atau kerusi Parlimen Permatang Pauh yang diduduki oleh anaknya, Nurul Izzah?
- Mengapa ingin masuk semula ke Parlimen melalui PRK?
- Mengapa memilih ‘Langkah PD’?
- Adakah boleh menerima wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa alasan kukuh?
- Adakah kekal bertanding di Parlimen Port Dickson pada pilihan raya seterusnya sekiranya menang kali ini?
Namun, yang lebih mencuri perhatian ramai adalah 'tembakan' pertama calon bebas, Saiful Bukhari Azlan terhadap Anwar yang juga bekas majikannya.
Saiful menyifatkan Anwar sebagai "tidak bermaruah" kerana PRK Port Dickson, jelasnya, adalah agenda peribadi presiden PKR itu.
Dalam perkembangan sama, Saiful juga mengaku dirinya adalah "anak murid" Anwar, dan bekas majikannya itu pernah menjadi inspirasinya.
Justeru, kata Saiful, Anwar seharusnya berbangga kerana "anak didiknya" kini bertanding mencabarnya.
Anak Isa Samad terlepas tindakan disiplin
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata tiada tindakan disiplin akan dikenakan ke atas Ketua Pemuda Umno Bahagian Port Dickson, Mohd Najib Mohd Isa yang mahu membantu ayahnya, Tan Sri Mohd Isa Samad.
Annuar berkata tiada alasan Umno berbuat demikian memandangkan Mohd Najib hanya memberi sokongan kepada bapanya, yang bertanding sebagai calon bebas selepas meninggalkan Umno.
Mohd Najib Mohd Isa, yang merupakan anak kepada bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad semalam menegaskan bahawa keutamaannya adalah membantu ayahnya yang bertanding sebagai calon bebas menang pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.
Mohd Najib yang juga merupakan ketua pemuda Umno Port Dickson berkata demikian ketika diminta mengulas arahan agar pemimpin Umno memboikot PRK itu selari dengan keputusan BN sebelum ini untuk tidak meletakkan calon.
Tuan Ibrahim: Tak salah pakai kalung
Turut mendapat tempat sebagai tajuk berita berhubung PRK Port Dickson adalah kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat sebagai mempertahankan tindakan Anwar menerima kalungan ketika mengunjungi rumah ibadat agama lain.
Kenyataan Tuan Ibrahim itu dilihat bertentangan dengan kritikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengkritik Anwar sebagai "tidak konsisten" kerana "menunjukkan sisi keagamaan di masjid, tetapi berpakaian seperti Sikh ketika di rumah ibadat agama lain".
Bagi Anwar, yang dilihat sebagai calon utama, beliau hari ini meneruskan siri kempennya, antara lain mengunjungi premis perniagaan dan bertemu orang ramai termasuk pemandu teksi yang menjadi penggerak industri pelancongan di Port Dickson.
Pada pertemuan dengan kira-kira 30 anggota Persatuan Kebajikan Tuanpunya dan Pemandu Teksi/Kereta Sewa Daerah Port Dickson, Anwar sempat mendengar rintihan pemandu-pemandu teksi yang menghadapi persaingan dengan perkhidmatan e-hailing.
Mahkamah tolak semakan kehakiman
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak semakan kehakiman oleh pengundi Port Dickson, Rosmadi Mohd Kassim untuk mencabar keputusan Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan sebagai anggota parlimen kawasan itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRK.
Hakim Datuk Nordin Hassan tidak memberi kebenaran untuk permohonan Rosmadi didengar berdasarkan meritnya.
Menurut peguam Ranjit Singh yang mewakil Danyal dan peguam kanan persekutuan Amarjeet Singh, hakim membuat keputusan itu berdasarkan Artikel 51 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan anggota parlimen boleh meletakkan jawatan jika dia menandatangani surat peletakan jawatan dan menghantarnya kepada speaker.
Hari mengundi PRK Port Dickson ditetapkan pada 13 Okt depan, yang bererti calon kini berbaki 11 hari lagi untuk berkempen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan