THE MALAYSIAN TIMES
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap latihan yang lebih berkesan diadakan bagi mengelak tragedi yang mengorbankan sekumpulan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) semasa operasi mencari dan menyelamat berulang.
Merujuk kepada tragedi yang meragut nyawa enam anggota JBPM ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Perdana Menteri menyifatkan ia tragedi yang menyedihkan.
“Ini adalah tragedi yang menyedihkan. Kita belum tahu kenapa enam orang tenggelam dalam satu usaha untuk menyelamatkan seorang yang hilang.
“Kita anggap ini satu tragedi dan meminta keluarga mangsa bersabar. Kita berharap ia tidak akan berulang lagi. Takziah kepada keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana yang keenam di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan. Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Ditanya sama ada bantuan akan disalurkan kepada keluarga mangsa, Dr Mahathir berkata kerajaan akan melihat perkara itu.
Enam penyelam PPDA terkorban ketika menjalankan operasi SAR seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam Rabu.
Tragedi itu adalah yang pertama dalam sejarah jabatan itu yang mengorbankan sekumpulan anggota serentak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan