UMNO tidak perlu bermimpi untuk membentuk kerajaan perpaduan, sebaliknya perlu fokus kepada usaha memulihkan kembali parti itu selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, berkata, UMNO tidak seharusnya menjadi penumpang dalam sesebuah kerajaan yang dibentuk, khususnya kerajaan perpaduan.
“Kita ubah apa yang patut diubah, kesilapan lalu jangan kita ulangi…kita mesti berusaha jangan bermimpi orang mari bawa tepak sirih untuk bina kerajaan.
“Kalau ada yang datang bawa tepak sirih, kita nak tengok tepak sirih yang macam mana sebab kita tidak hendak jadi penumpang dalam kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di PWTC, Kuala Lumpur, pada Ahad.
Sementara itu Mohamad berkata, UMNO tidak perlu membuang masa berdebat dengan pihak yang masih hendak mencaci maki parti kerana bermegah dengan kuasa yang dimiliki selepas PRU14.
“Kita usah buang masa berdebat dengan orang tengah megah, kita tunggu, kita simpan elok-elok, apa kita nak buat kita simpan, esok, bila keluar satu persatu, bila orang dah marah, orang dah muak, kita hentam cukup-cukup,” katanya merujuk kepada janji Pakatan Harapan (PH) yang tidak dapat ditunaikan menyebabkan rakyat marah.
Selain itu katanya, ahli parti juga diingatkan supaya tidak memandangenteng soal hati orang Melayu.
“Melayu tidak susah dijaga hatinya, susah merajuk, tapi bila sudah merajuk, susah nak dipujuk. Jangan dipandang enteng soal hati mereka.
“Orang Melayu ni kalau dah suka dengan kita, kalau di kampung buat kenduri, waima masak lauk pisang muda pun dia datang, siap bawa lauk sendiri dari rumah
“Tapi usah tunggu sampai Melayu muak dan menyampah dengan kita. Kalau mereka sudah begitu, buat apa sekali pun, termasuk kenduri tujuh ekor unta pun dia tidak akan datang bahkan siap buat lawatan ke Langkawi, jadi jangan susahkan hati mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan