Meskipun dikecam hebat, kumpulan Antikhalwat Skuad Badar tetap akan meneruskan sesi tarbiahnya di kubur dalam usaha mengekang lebih banyak maksiat dan kelahiran anak luar nikah.
Pengerusinya Azhaar Mohamad berkata beliau tetap akan mengutamakan prosidur kumpulan itu dengan pergi kebalai polis terlebih dahulu setelah mendapat laporan sebelum membuat operasi pencegahan maksiat.
“Selepas kami terima laporan, kami akan ke balai polis, setelah itu kami akan ke hotel, rumah urut (untuk operasi).
“Lalu selepas ditangkap mereka ini (yang melakukan maksiat), kami akan hubungi penjaga sebelum bawa mereka ke masjid Padang Tembusu seterusnya ke tanah perkuburan sebab setiap operasi kami beri kesan baik.
“Kami dah tarbiah ratusan orang dan kami berjaya menyatukan mereka yang lakukan perbuatan keji, mungkar, yang mana mak ayah tak suka (perbuatan mereka dan nak) mereka nikah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Katanya, beliau akan tetap meneruskan sesi tarbiah sekiranya mendapat laporan terbaru.
Semalam media melaporkan kumpulan tersebut mempertikaikan tindakan pihak yang mempersoalkan kaedah tarbiah mereka dengan membawa pasangan ditangkap khalwat ke kubur.
Cina, India pun buat laporan
Selain itu, katanya pasukan polis daerah Kuala Muda turut meminta kerjasama mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai kegiatan jenayah moral di sekitar kawasan itu.
Sementara itu Azhaar ketika ditanya mengenai reaksi netizen yang tidak bersetuju dengan tindakannya kerana akan memberi persepsi buruk kepada bukan Islam bagaimanapun menangkis kenyataan itu.
Azhar sebaliknya berkata, kebanyakan laporan yang diterima adalah dari kalangan bukan Islam.
“Rakan-rakan bukan Islam banyak sokong kita dan banyak hantar laporan pada saya adalah orang Cina dan India. Mereka hantar laporan berkaitan mesin judi dan maksiat di hotel. Mereka tengok, malu dengan perbuatan Melayu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan