Pesuruhjaya Kehakiman K Muniandy berkata hukuman alternatif itu sesuai setelah mempertimbangkan kepentingan awam dan perayu.
“Ini adalah masa yang luar biasa dan semua orang mesti mematuhi PKP yang dikuatkuasakan kerajaan. Bagaimanapun, terdapat pilihan lain seperti mengikat dan memerintahkan orang yang dituduh melakukan khidmat masyarakat,” kata hakim dalam membenarkan semakan jenayah yang diminta oleh Chin Chee Wei dan Chong Poh Wah.
Muniandy kemudian mengetepikan hukuman penjara 3 bulan yang dikenakan Mahkamah Majistret di Sungai Siput, Perak, minggu lepas.
Peguam Balakrishna Balaravi Pillai yang mewakili Chin dan Chong, berkata anak guamnya akan menjalani khidmat masyarakat seperti yang diperintah mahkamah selepas PKP ditarik semula.
Kedua-dua mereka akan menjalani kerja kemasyarakatan di bawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah dan akan diselia oleh pegawai penjara.
“Ia akan berlangsung selama 4 jam sehari pada hari Isnin hingga Jumaat selama 3 bulan,” kata Balakrishna kepada FMT.
Beliau berkata kedua-dua mereka ditahan di penjara Tapah sejak Jumaat lalu akan dibebaskan petang ini.
Chin, 45, dan Chong, 56, yang mengaku bersalah atas kesalahan itu, berkata mereka hanya cuba menyediakan makanan untuk keluarga.
Kedua-dua tertuduh, yang menunggang motosikal, memancing di sebuah kolam di Rimba Panjang pada Khamis lalu dan ditahan anggota polis yang melakukan rondaan.
Balakrishna dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) berkata tertuduh tidak dapat mencari kerja sejak PKP dilaksanakan.
Beliau mencadangkan supaya mereka melakukan khidmat masyarakat berbanding dihukum penjara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan