ULASAN |
Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta
Khas Perdana Menteri di Timur Tengah adalah untuk mengukuhkan hubungan
diplomatik serta menarik pelabur melabur ke Malaysia.
Malaysia sudah ada Kementerian Luar Negeri yang diketuai Hishammuddin Hussein dan timbalannya, Kamarudin Jaffar.
Kementerian Luar berperanan untuk:
(a) Menjalin hubungan erat dan perkongsian ekonomi dengan semua negara, terutamanya Asean dan negara serantau yang lain, dan
(b) Menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau dengan membina keupayaan dan mengambil pendekatan menyelesaikan konflik.
Dalam erti kata lain, kementerian itu bertanggungjawab membina hubungan diplomatik dengan negara luar termasuklah Timur Tengah.
Malaysia juga sudah ada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (Miti) yang diketuai Azmin Ali dan timbalannya, Lim Ban Hong.
Objektif Miti ialah untuk menarik pelabur luar ke Malaysia termasuk dari Timur Tengah, di samping menyelia kegiatan perdagangan yang dijalankan Malaysia di peringkat antarabangsa, seperti import dan eksport, selain menyelaras kegiatan dan dasar-dasar perindustrian negara ini.
Jadi jurucakap, wakil negara
Peranan MPIC khusus dalam sektor perladangan dan komoditi seperti sawit, getah, lada hitam dan sebagainya. Ia berperanan memperkukuh dan memperluaskan sektor perladangan negara ke peringkat antarabangsa.
Di samping Kementerian Luar, Miti dan MPIC, Malaysia juga mempunyai kedutaan besar, pesuruhjaya tinggi dan konsulat jeneral di negara-negara luar yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia. Ia termasuklah Timur Tengah.
Ketiga-tiga entiti tersebut adalah wakil rasmi kerajaan untuk melaksanakan fungsi-fungsi diplomatik (politik), perdagangan (ekonomi) di samping menjadi suara Malaysia mempromosikan sosial dan budaya negara kita di luar.
Dengan wujudnya kementerian tersebut serta pejabat kedutaan, pesuruhjaya tinggi dan konsulat, negara sebenarnya tidak memerlukan Abdul Hadi sebagai duta khas di Timur Tengah.
Peranan beliau seperti yang disebutkan Tuan Ibrahim sudah dijalankan kementerian-kementerian, kedutaan, pesuruhjaya tinggi dan konsulat yang dilantik oleh kerajaan.
Apa peranan timbalan menteri
Dengan pelantikan Abdul Hadi, Hishammuddin boleh memberikan fokus beliau di negara-negara Eropah dan Amerika, manakala beliau pula di Timur Tengah.
Sebenarnya dakwaan itu sendiri telah memperkecilkan kemampuan Hishammuddin sebagai menteri luar dan peranan kementeriannya di peringkat antarabangsa.
Dengan dakwaan tersebut, maksudnya negara kita mempunyai dua menteri luar iaitu Abdul Hadi yang bertaraf menteri untuk memfokus di Timur Tengah, dan Hishammuddin di bahagian yang lain.
Atau pun Abdul Hadi sebenarnya berperanan untuk membantu Kamarudin? Kalau begitu, adakah Hishammuddin mempunyai dua orang timbalan sekarang?
Kalau begitu tujuannya, kerajaan PN nampaknya terpaksa melantik sehingga tiga orang untuk mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar.
Adakah ia dibuat kerana tiada pengiktirafan dari negara asing terhadap kerajaan PN sehingga kini?
Oh, kalau bukan begitu, sila jelaskan betul-betul apakah fungsi Abdul Hadi.
Apa beza tugas dengan duta
Maknanya sudah ada lima orang yang berperanan untuk menarik para pelabur luar - termasuk dari Timur Tengah - untuk melabur dalam negara. Adakah kerajaan tidak yakin dengan kemampuan lima orang itu sehingga terpaksa melantik Abudl Hadi untuk menarik para pelabur pula?
Oh, kalau bukan juga, sila jelaskan betul-betul apakah fungsi Abdul Hadi.
Baik, kalau tugas beliau tidak sampai ke peringkat menteri, sekurang-kurangnya mesti sama seperti tugas-tugas seorang duta. Yalah, nama pun duta, sudah tentulah beliau akan berfungsi seperti seorang duta, betul kan?
Kalau begitu keadaannya, apakah beza fungsi beliau dengan kedutaan sedia ada di Timur Tengah?
Oh, kalau jawapannya tidak sama, sila jelaskan betul-betul, apakah perbezaannya?
Kerajaan melantik Abdul Hadi sebagai duta bertaraf Menteri. Katanya, gaji beliau juga sama seperti gaji menteri. Sama atau tidak, ia soal kedua. Yang penting, kerajaan tetap menggunakan duit rakyat untuk membayar gaji Abdul Hadi.
Sekiranya beliau tidak menjalankan fungsi-fungsinya sebagai menteri Miti , MPIC dan duta, rakyat berhak tahu apakah sebenarnya peranan Abdul Hadi.
Sekiranya tidak ada jawapan yang jelas, rakyat berhak untuk mengatakan bahawa pelantikan presiden PAS itu sebagai duta khas bertaraf menteri adalah lantikan politik semata-mata bagi memenuhi kuota presiden parti dalam kerajaan.
Kalau anggapan di atas adalah benar, maka pelantikan Abdul Hadi adalah satu pembaziran wang rakyat dan ia sama sekali tidak memberi faedah kepada negara.
*MOHD FITRI ASMUNI ialah seorang peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan