Dalam melawan wabak Covid-19, perbelanjaan besar untuk menyelamatkan nyawa rakyat harus diutamakan, meskipun ia bermaksud akan menjejaskan ekonomi negara, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang,
Jelasnya, ia adalah pendekatan yang menepati fikah aulawiyat (keutamaan) seperti yang digalakkan dalam Islam.
“Harta yang bersifat perbelanjaan yang besar demi menyelamatkan nyawa rakyat seperti peruntukan perubatan, makanan dan sebagainya adalah lebih penting daripada peruntukan lain walaupun ia menjejaskan ekonomi negara untuk sementara waktu.
“Nyawa rakyat yang diselamatkan adalah sumber diri manusia yang lebih didahulukan daripada sumber harta itu sendiri, kerana manusia yang diselamatkan dapat menjana harta selepas itu, dan harta pula tidak bermakna lagi tanpa manusia yang memakmurkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, beberapa jam selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion khusus untuk membantu meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kata Abdul Hadi, maqasid syariah menetapkan agar manusia menjaga rukun agama, nyawa, akal, keturunan (maruah) dan harta, yang perlu dipelihara bagi mencapai tujuan agama dan mendapat kabaikan di dunia dan kebahagian di akhirat.
Sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, sudah ada sebahagian rakyat yang terjejas kerana wabak Covid-19 apabila industri tertentu menerima tempias wabak itu, seperti industri penerbangan dan perhotelan.
Dua hari sebelum penguatkuasaan PKP, Muyiddin mengumumkan langkah-langkah bagi memperkukuh Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan pada hujung Februari sebelum itu, termasuklah bantuan kepada pekerja yang terpaksa bercuti tanpa gaji.
Bagaimanapun, sejak penguatkuasaan PKP, lebih banyak rakyat terjejas ekonominya kerana perusahaan tidak lagi dibenarkan beroperasi melainkan yang terlibat dalam perkhidmatan penting.
Hal ini menyebabkan ada rakyat yang hilang punca pendapatan, dan bergelut untuk meneruskan kehidupan.
Pada 27 Mac, Muhyiddin mengumumkan pula Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion bagi membantu rakyat menghadapi kesan pandemik Covid-19, termasuk suntikan fiskal RM22 bilion, jaminan kerajaan sebanyak RM55 bilion dan lain-lain inisiatif yang mencakupi lebih RM153 bilion.
Dalam pengumuman hari ini pula, Muhyiddin berkata Pakej Prihatini PKS akan dapat menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini, antaranya melalui peningkatan subsidi upah sebanyak RM7.9 daripada yang diumumkan 27 Mac lalu, serta potongan cukai tambahan.
Mengulas lanjut, kata Abdul Hadi, wabak itu merupakan ujian daripada Allah.
Bagi mereka yang masih terpaksa bertugas, kata Abdul Hadi, akan mendapat kelebihan bersabar, manakala yang sakit akan mendapat pahala bersabar atas kesakitan dihadapinya,
“Pada masa yang sama, mereka juga mendapat kelebihan jihad mengorbankan harta, diri dan segala tenaga, dan mendapat kelebihan syahid bagi mangsa yang meninggal dunia kerana bertugas atau menjadi mangsa wabak dan bencana.
“Semua kelebihan tersebut dikurniakan kepada orang yang beriman dan beramal dengan ikhlas,” tambahnya lagi.
Petang tadi, meskipun mengakui beban yang dihadapi oleh rakyat sepanjang tempoh PKP yang genap tiga minggu, Muhyiddin juga meminta rakyat terus cekal memerangi Covid-19.
"Tetap kuat, kekal sihat, InsyaAllah, kita akan berjaya. Ingat, selepas hujan, mentari akan datang. Dan hari-hari yang lebih baik akan kembali menjelma," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan