Dakwa anjur himpunan hingga bawa kepada peningkatan pesakit coronavirus

NEW DELHI
– India memfailkan tuduhan homisid terhadap ketua kumpulan Islam kerana
menganjurkan himpunan bulan lalu, yang menurut pihak berkuasa membawa
kepada peningkatan jangkitan coronavirus, kata polis hari ini.
Portal Free Malaysia Today (FMT) memetik
ibu pejabat jemaah tabligh di Delhi ditutup dan ribuan pengikut termasuk
beberapa orang dari Indonesia, Malaysia dan Bangladesh dikuarantin,
selepas mendapati mereka menyertai pertemuan di negara itu pada
pertengahan Mac lalu.
Polis pada awalnya mensabitkan kes
terhadap Muhammad Saad Kandhalvi kerana melanggar larangan ke atas
himpunan besar-besaran namun kini menguatkuasakan undang-undang homisid,
kata jurucakap polis.
“Polis Delhi sebelum ini memfailkan
laporan maklumat awal terhadap ketua tabligh, kini seksyen 304
dimasukkan,” kata pegawai itu, merujuk kepada kesalahan homisid yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.
Jurucakap jemaah tabligh, Mujeeb-ur
Rehman enggan mengulas dan berkata, mereka belum dapat mengesahkan
laporan mengenai tuduhan itu.
Pihak berkuasa berkata, satu pertiga
daripada hampir 3,000 kes coronavirus pada awal bulan sama melibatkan
orang yang menyertai himpunan tabligh atau terdedah kepada pesertanya.
Angka jangkitan coronavirus di India meningkat kepada 12,380 kes, termasuk 414 kematian setakat hari ini.
Di kawasan panas coronavirus iaitu Delhi,
1,080 daripada 1,561 kes dikaitkan dengan himpunan tabligh, menurut
data kerajaan tempatan semalam.
Pentadbir tabligh sebelum ini berkata,
pengikut yang mengunjungi pejabatnya di Delhi terkandas selepas kerajaan
mengisytiharkan kurungan keluar masuk selama tiga minggu, dan mereka
ditempatkan di pusat itu.
Pengkritik kerajaan Perdana Menteri,
Narendra Modi memberi amaran jangan memburukkan ketegangan dengan
menyalahkan kumpulan Islam atas penularan coronavirus.
Bagaimanapun, pegawai kerajaan menolak
cadangan mengatakan mereka secara tidak adil menyasarkan komuniti Islam,
tetapi mereka perlu ditegur kerana secara tak bertanggungjawab dan
tidak mempedulikan peraturan penjarakkan sosial.
Kumpulan tabligh juga dikaitkan dengan
peningkatan kes di Pakistan yang pada saat-saat akhir membatalkan
himpunan apabila ribuan tiba di premis gerakan itu Lahore.
Himpunan anjuran kumpulan itu di Malaysia juga membawa kepada peningkatan kes dan di beberapa negara Asia Tenggara.
Pakistan mencatatkan 6,505 kes menurut data terkini, meningkat 520 berbanding hari sebelumnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan