Menurut Sabri Yusoff, 52, lebih 70 peratus penyewa di sini kini menghadapi masalah kewangan kerana tidak dapat bekerja.
“Walaupun saya sewa dan dipotong melalui syarikat tapi kalau tidak dikecualikan macam DBKL dan Labuan, terasa juga.
“Anak saya enam orang, memang terkesan. Jadi harap kerajaan prihatin kepada penduduk di sini. Lebih 70 peratus penduduk sini adalah terdiri daripada golongan pendapatan rendah termasuk ibu tunggal.
“Terpaksa kami ikat perut, ramai lagi yang anak ramai,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Awal hari ini, MalaysiaGazette melaporan penyewa perumahan awam milik Perbadanan Putrajaya kecewa dengan tindakan PPj yang didakwa terus mengenakan sewa dan tidak memperdulikan rayuan mereka yang dikemukakan menerusi satu memorandum.
Wakil penduduk di blok F dan G dalam sepucuk surat kepada MalaysiaGazette mendakwa semua penyewa Pangsapuri PPj Presint 11 telah menerima pesanan ringkas kelmarin menuntut mereka menjelaskan sewaan sebelum 7 haribulan April ini.
Ketua Ahli Jawatankuasa Bertindak Blok F dan G kawasan itu, Othman Ahmad pula berkata, pihaknya rasa seperti dipinggirkan apabila Kementerian Wilayah Persekutuan tidak mengenakan arahan sama kepada penyewa di perumahan DBKL dan Labuan.
“Kami terfikir kenapa pula kami kena bayar sewa sedangkan DBKL dan Labuan tidak perlu bayar sewa.
“Kami rasa tertekan sebab semua orang sudah dapat notis yang menyatakan sewa harus dibayar pada 7 haribulan kalau tidak air akan dipotong.
“Bila kita dapat notis itu, kita bingung kerana belum ada respon lagi padahal Isnin ini sudah 6 haribulan. Kita ada dua hari lagi untuk bayar,” katanya.
Difahamkan kadar sewaan di Pangsapuri
Perbadanan Putrajaya adalah sebanyak RM502 sebulan dan bayaran
penyelenggaraan sebanyak RM100 turut dikenakan kepada penyewa.
Ujarnya lagi, jika tidak mendapat pengecualian penuh, mereka amat berharap agar PPj bertimbang rasa dengan keadaan mereka kini.
“Kami tidak mampu nak bayar sewa sebelum 7 haribulan.
“Kami minta hak sama rata atau pengurangan kadar sewa. Kita minta pengurangan bukan sebab di DBKL dan Labuan sahaja yang terima akibat daripada PKP ini, kami juga terkesan terutama peniaga kecil. Sehingga hari ini tidak ada apa makluman daripada pihak PPj,” jelas Huzir.
Malah bagi seorang ibu tunggal, Zubaidah Nahu, 53, arahan yang diberikan pada 1 April lalu telah memberikan beban kepada dirinya selaku ketua keluarga.
Ujar Zubaidah, pendapatannya terjejas apabila perniagaan di sebuah gerai di Kementerian Wilayah terpaksa ditutup dan ini menjejaskan pendapatannya yang menyara dua anak kelainan upaya (OKU).
“Sekarang saya berharap kepada anak sahaja seorang untuk bayar sewa rumah.
“Arahan untuk kami bayar sewa amat beban buat kami. Dengan duit gaji yang tidak mencukupi, makanan pula mahal sekarang.
“Selama ini kami tidak tersepit macam ini, jadi kami terbeban dengan isu ini. Ada juga bantuan tapi tidak cukup untuk kami sekeluarga,” demikan menurut Zubaidah.
Ujarnya, sebagai pesara, beliau tidak mampu untuk melunaskan bayaran sewa kerana pendapatan lain turut terjejas ekoran PKP.
“Saya ada penyakit kronik dan asyik ulang alik hospital. Saya pesara cuma berpendapatan RM1,141, kalau sewa rumah sudah RM502 sebulan apa yang tinggal untuk kamu waktu PKP.
“Kalau dapat pengecualian selama enam bulan bayaran sewa tu alhamdulillah. Senang hati saya, ringan sikit beban saya. Kalau kawasan DBKL dan Labuan boleh bagi percuma selama enam bulan kenapa di Putrajaya tidak boleh beri percuma.
“Kalau boleh sama rata semua tempat. Boleh ringankan bebanan kami, ada lebih pendapatan untuk belanja masa PKP,” jelas Noor Hasni. – MalaysiaGazette
Penyewa pangsapuri kecewa PPj, kementerian tidak prihatin nasib mereka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan