HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 April 2020

Polis akan bertindak lebih keras dalam fasa ke-2 PKP, kata Ismail Sabri

Kerajaan meminta orang ramai terus patuh kepada arahan 
pihak berkuasa, termasuk polis dan tidak mengingkari PKP 
yang sedang berjalan.
 
PUTRAJAYA: Mood pihak berkuasa, termasuk anggota polis, berubah daripada menasihati kepada tindakan lebih keras ketika fasa kedua perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Pertahanan membuat peringatan itu supaya rakyat terus patuh kepada arahan pihak berkuasa, termasuk polis dan tidak mengingkari PKP yang sedang berjalan.

“Jadi saya harap sesiapa yang ditahan pihak polis tolong beri kerjasama. Jangan cuba halang tugas mereka, jangan maki hamun kerana akhirnya tindakan lain akan diambil.

“Mood dari segi penguatkuasan polis telah berubah daripada menasihati kepada tegas dan kini kepada keras.

“Suka saya nyatakan bahawa apa yang dilakukan polis tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga keselamatan nyawa rakyat. Jadi polis ambil tindakan untuk bantu kita semua, jadi tolong beri kerjasama,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas harian menteri-menteri bersama pihak berkuasa dalam mendepani Covid-19 di Perdana Putra di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah wajar pihak polis yang bertindak tegas ketika menjalankan tugas diambil tindakan, Ismail berkata, setiap pihak berkuasa mempunyai peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi

“Polis ada peraturan mereka sendiri. Semua yang dilakukan dan melibatkan anggota akan diambil tindakan sewajarnya oleh polis sendiri.

“Semalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat kenyataan tentang isu berkaitan tindakan polis, jadi kita serah kepada KDN, mereka ada peraturan sendiri, ada SOP mereka.

“Suka saya ingatkan, polis juga manusia biasa. Kita yang duduk di rumah sehari pun berbagai-bagai perkara ada dalam fikiran kita.

“Anggota polis melakukan sekatan jalan raya, ada sesetengah itu berpanas, berhujan siang dan malam untuk bantu kita, selamatkan nyawa rakyat. Jadi perlu pertimbangan sewajarnya.

“Saya tidak boleh bayangkan kalau niat polis baik, iaitu nak bantu kita, nak selamat nyawa rakyat, mereka dimaki hamun.

“Saya percaya kadang-kadang ada di antara mereka buat tindak balas dan sebagainya, sebab itu saya kata tolong beri kerjasama. Biar mereka jalankan tugas untuk menyelamatkan kita,” katanya.

Ismail berkata, terdapat juga anggota polis yang terpaksa bertindak dan mengambil tindakan di bawah kesalahan lain, bukan di bawah PKP, termasuk mengikut Kanun Keseksaan.

“Saya ingin meminta orang ramai supaya memberi kerjasama kepada polis dalam pematuhan PKP.
Terdapat insiden di mana segelintir individu yang bukan sehaja mengingkari PKP bahkan menghalang tugas pihak berkuasa.

“Ada kes yang lebih berat. Ada yang melanggar sekatan jalan raya, ada anggota polis cedera akibat dirempuh penunggang motosikal. Jadi kes itu bukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 432 ), tapi Kanun Keseksaan, macam-macam caj dikenakan. Sebab itu ada hukuman dikenakan berbeza dengan kesalahan PKP,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial insiden membabitkan anggota polis dengan individu yang tidak bertanggungjawab, termasuk memaki pihak berkuasa ketika PKP.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, semalam polis menahan 368 individu kerana melanggar PKP.

“Jumlah itu berkurangan berbanding hari sebelumnya, iaitu 413 tangkapan. Penurunan sebanyak 11%. Trend penurunan ini menunjukkan rakyat semakin sedar dan patuh.

“Daripada jumlah ditahan semalam, 309 direman dan 59 diberikan ikat jamin,” katanya.

Tiada ulasan: