HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 April 2020

Selangor batal bazar Ramadan hingga dapat kebenaran KKM





SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini membatalkan penganjuran bazar Ramadhan di seluruh negeri, ketika kawalan pergerakan masuk fasa ke-2 minggu ini.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata pembatalan itu hanya akan ditarik sekiranya kerajaan Selangor mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya percaya nanti akan ada bazar Ramadan dalam talian kerana akan ada keupayaan untuk penghantaran atas talian,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi menteri besar hari ini.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han memaklumkan suatu perjumpaan dengan pengarah pelesenan PBT dibuat bagi mendapatkan pandangan berhubung isu penganjuran bazar Ramadhan.

Perkembangan ini ketika Kementerian Kesihatan menjangkakan beberapa kawasan di Selangor akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan, selepas mendapati 1-2 kawasan mempunyai taburan jangkitan yang tinggi.

Pada Ahad, kawalan diperketatkan di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui di Hulu Langat melibatkan 3,918 penduduk daripada 700 rumah di kawasan itu, termasuk 2 kampung Orang Asli dan 5 kampung Melayu.

Dalam kemas kini KKM pada Ahad, 4 daerah di Selangor iaitu Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang disenaraikan sebagai zon merah.

Tiada ulasan: