Bekas
perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menzahirkan ucapan terima kasih
kepada golongan doktor khususnya Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham
Abdullah "yang ternampak hampir tidak berhenti-henti menjalankan tugas
siang hari dan malam hari" dalam menangani krisis wabak Covid-19.
"Saya ucap terima kasih bagi pihak diri saya, isteri saya dan juga masyarakat umum kerana tugas seperti ini amatlah berat, merbahaya tetapi kesanggupan ketua pengarah kesihatan mengepalai usaha ini amatlah dihargai.
"Selamat menyambut Hari Doktor Sedunia," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian dalam sebuah video memaparkan beliau bersama isterinya Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang dihantar melalui ciapan di akaun Twitternya hari ini.
Pada penghujung video sepanjang 2.02 minit itu, Siti Hasmah menggesekkan alunan biolanya sebagai tanda penghargaan.
Terdahulu, dalam video itu, Dr Mahathir menjelaskan negara tidak pernah menghadapi serangan wabak penyakit seteruk Covid-19, lantaran itu menjelaskan betapa pentingnya tugas yang digalas seorang doktor.
Menurut
MP Langkawi lagi, golongan doktor memainkan peranan penting dalam
masyarakat dengan "memenuhi fardu kifayah," perkara yang wajib dilakukan
oleh sebahagian anggota masyarakat untuk menjaga kepentingan umat
Islam.
"Kalau kita sakit, pada masa itu kita sangat menghargai khidmat oleh doktor.
"Sekarang ini kita diserang oleh wabak yang dahsyat," katanya lagi.
Hari Doktor Sedunia disambut berbeza-beza bagi setiap negara. Antara yang menjadikan tarikh 30 Mac sebagai hari doktor ialah Amerika Syarikat (AS) dan Australia. Sementara itu, negara seperti Brazil dan Cuba pula menyambut hari doktor dengan cuti umum.
Bagaimanapun,
dilaporkan sejak 2014, Persekutuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM)
menyambut hari doktor di Malaysia pada tarikh 10 Oktober.
Untuk rekod, Dr Mahathir juga bekas pengamal perubatan dan pernah membuka klinik swasta pertama di Alor Setar selepas merdeka pada 1957, manakala isterinya Dr Siti Hasmah merupakan salah seorang doktor wanita Melayu yang terawal selepas tamat pengajian pada 1955.
LIHAT TWITTER DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan