HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 April 2020

Timbalan menteri ingkar PKP wajar letak jawatan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Azmi jangan pentingkan diri hingga beri kelebihan pada musuh


BANGI – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang menghadiri jamuan makan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, Perak Jumaat lalu, wajar meletakkan jawatan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar Dr Noor Azmi berkumpul dengan beberapa rakyat di Maahad Tahfiz di kawasan Lenggong.

Difahamkan, beliau pada awalnya meninjau kesiapsiagaan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lenggong atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kesihatan, dengan diiringi sebahagian Exco Perak termasuk seorang daripadanya pemilik maahad tahfiz berkenaan.

Exco yang juga pemilik maahad tahfiz itu kemudian membawa Dr Noor Azmi melawat maahad tahfiz, sebelum satu majlis makan diadakan.

Dr Noor Azmi kemudian memuat naik beberapa keping gambar di Facebook miliknya mengenai lawatan itu dan mendapat reaksi yang mendakwa beliau melanggar PKP.

Menyifatkan tindakan yang dilakukan timbalan menteri itu sebagai sesuatu yang serius, Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, penyelesaiannya ialah letak jawatan, agar kepimpinan sentiasa segar dan tidak menjadi toksik.

“Perangai tidak mahu mengaku salah dan pertanggungjawaban adalah punca kepimpinan dominasi Melayu zaman Barisan Nasional (BN) jatuh dan secara automatik menobatkan DAP.

“Jangan mementingkan diri sendiri sehingga memberi kelebihan kepada musuh Islam mengambil kesempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

KKM sebelum ini berkata, sesiapa sahaja yang didapati berkumpul dalam mana-mana keramaian, walaupun sudah diarahkan untuk mematuhi garis panduan PKP, akan berdepan hukuman dua tahun penjara.

Kementerian itu turut menegaskan, perkara berkenaan terkandung dalam Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurut Seksyen 11(4) Akta 342, dibaca bersama Seksyen 24(a) Akta sama, keingkaran larangan adalah satu jenayah dan boleh dipenjarakan selama dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya seseorang ditangkap untuk kali kedua melanggar arahan sama, tempoh penjara dinaikkan kepada lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.


Tiada ulasan: