Astro Awani
Mohd Azis berkata, sudah sampai masanya ahli-ahli parlimen pembangkang
yang muda menunjukkan teladan kesatuan itu.
KUALA LUMPUR:
Gerakan 'Kita Unite' yang disertai 11 ahli parlimen pembangkang adalah
untuk mempromosikan kesatuan (unity) dalam kalangan pemimpin blok itu.
Ahli
Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, kemunculan gerakan
itu juga bertujuan untuk menzahirkan contoh terbaik kesatuan kepada
pemimpin-pemimpin lama dalam blok tersebut.
Beliau
yang juga Ketua Wira Parti Warisan Sabah menjelaskan, sudah sampai
masanya ahli-ahli parlimen pembangkang yang muda menunjukkan teladan
kesatuan itu.
"Kita mahu mempromosikan
unity dalam kalangan pemimpin blok pembangkang. Kita mahu menunjukkan
kepada mereka kalau kita bersatu kita boleh menjadi pilihan rakyat
menjelang pilihan raya akan datang," katanya ketika dihubungi Astro
AWANI pada Jumaat.
Selain
mempromosikan kesatuan, gerakan yang disertai ahli parlimen dari DAP,
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Pejuang,
Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Warisan itu turut mahu mengubah landskap
politik perkauman yang bercambah di negara ini.
Kata
beliau, politik perkauman dan agama itu perlu diketepikan serta memberi
fokus kepada politik kesatuan selain usaha membangunkan negara.
"Itulah
yang kita risaukan... anak muda, pemimpin muda di negara kita. Saya
rasa sudah sampai masanya untuk kita bersatu dan berhenti membangkitkan
tentang kaum dan agama. Semua anasir ini merugikan tetapi ini yang
berlaku di negara kita sekarang," katanya.
Mohd
Azis turut berkata, gerakan 'Kita Unite' itu juga mahu semua pihak
kembali kepada asas pembentukan malaysia yang tiada prejudis mengenai
bangsa dan agama.
"Apa yang penting bagi
kita ialah kita lihat kembali bagaimana negara Malaysia itu dibentuk
yang mana sepatutnya kita bersama-sama bersatu padu.
"Apa
yang saya dah rakan-rakan dalam gerakan ini mahu tunjukkan adalah ini
merupakan masanya untuk kita bekerja dalam satu pasukan tanpa prejudis
kepada bangsa dan agama," katanya.
Semalam,
menutup tirai 2020, selain Mohd Azis, 10 lagi ahli parlimen memuat naik
status 'Kita Unite' di media sosial mereka antara Ahli Parlimen
Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah
Majilis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan