HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 April 2021

Anwar tidak dibenar cabar tindakan Perdana Menteri nasihati Yang di-Pertuan Agong

Oleh NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan
Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat.

Ini berikutan keputusan Datuk Seri Mariana Yahya yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman
yang dikemukakan Ketua Pembangkang itu selaku pemohon.

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md. Ali berkata, Hakim Mariana yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu atas alasan mahkamah tiada bidang kuasa
untuk mendengar semakan kehakiman pemohon berdasarkan Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan.

“Nasihat Jemaah Menteri dan Muhyiddin kepada Al-Sultan Abdullah untuk memasyhurkan Ordinan Darurat adalah tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

“Mahkamah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman pemohon tanpa kos,” katanya kepada pemberita selepas keputusan permohonan itu yang dijalankan menerusi aplikasi Zoom.

Prosiding itu turut disertai Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy manakala Anwar diwakili peguam Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur Deo.

Pada 4 Mac lalu, AGC membantah permohonan itu atas alasan ia terhalang oleh Perkara 150(6) dan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 25 Januari lalu dengan menamakan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat
(Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.

Anwar memohon deklarasi bahawa Seksyen 14 Ordinan Darurat itu tidak konsisten dengan Perkara 150(3) dan (5) Perlembagaan Persekutuan serta tidak berpelembagaan dan tidak sah.

Beliau turut memohon perintah mandamus supaya kedua-dua responden menasihati Al-Sultan Abdullah supaya membatalkan Seksyen 14 Ordinan Darurat berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: