HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 April 2021

'Beri ruang kerajaan PN buat kerja sewaktu darurat'


SHAH ALAM -
Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggesa badan tertinggi parti itu memberi ruang kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerja sepanjang tempoh darurat dahulu sebelum memutuskan tempoh menarik sokongan terhadapnya.

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, beliau berharap mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bakal diadakan pada 25 April ini akan lebih menumpukan kepada perbincangan bagi memuktamadkan proses pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.

Jelas beliau, cadangan mengadakan pemilihan UMNO memang wajar diuruskan segera setelah urusan parti pada tahun 2020 berjaya diselesaikan menerusi pelaksanaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), hujung bulan lepas.

"Dari mana dapat berita (MKT bakal memuktamadkan tarikh UMNO menarik sepenuhnya sokongan terhadap kerajaan PN) sebegitu? Siapa yang kata? Biarlah kerajaan buat kerja mereka dahulu. Lagipun, (tempoh) ketika ini dalam proklamasi darurat lagi.

"(Tumpuan mesyuarat MKT untuk memuktamadkan tarikh pemilihan UMNO) Itu ok. Memang patut diuruskan setelah urusan parti pada tahun 2020 selesai.

"Maka, urusan bagi persidangan cawangan, mesyuarat perwakilan UMNO bahagian dan PAU 2021 perlulah disusun segera," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Semalam, media mendedahkan terdapat desas-desus UMNO bakal menarik balik sepenuhnya sokongan terhadap kerajaan PN melalui satu mesyuarat MKT yang dijangka diadakan pada 25 April ini.

Sekiranya usul menarik balik sokongan daripada kerajaan PN dimuktamadkan, hayat kerajaan PN secara automatiknya bakal terbubar kerana jumlah keseluruhan ahli Parlimen UMNO dan BN yang masih memberikan sokongan adalah berjumlah 38 orang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz seolah-olah 'merajuk' dengan tindak-tanduk perwakilan MKT UMNO sejak kebelakangan ini apabila menyatakan beliau tidak lagi berminat untuk mengetahui sebarang keputusan penting yang akan dibuat pada masa hadapan.

Jelas beliau, sekiranya mesyuarat MKT UMNO kelak bakal memuktamadkan tarikh penarikan sepenuhnya sokongan parti itu terhadap kerajaan PN, Ketua UMNO bahagian Padang Rengas itu bersama Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sudah pun melakukannya lebih awal.

"Kalau mahu bincang soal bila hendak mengadakan pemilihan parti pun, saya tidak berminat hendak tahu kerana saya sudah tidak bertanding jawatan penting UMNO sejak tahun 2000 lagi.

"Jujurnya, saya sudah tidak ada minat hendak mengetahui apa lagi keputusan penting yang parti akan buat.

"Namun, sebagai seorang ahli parti yang setia, saya tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepada ahli-ahli MKT membuat keputusan dan bersedia mengikut apa sahaja keputusan mereka nanti," katanya

Tiada ulasan: