HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 April 2021

Berjayakah UMNO rehatkan Zahid menggunakan Fasal 10?

AGENDA DAILY

Pemimpin tertinggi UMNO yang berdepan kes mahkamah.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijangka menggunakan Fasal 10 perlembagaan parti itu untuk menasihatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin lain yang mempunyai kes mahkamah supaya ‘berehat’.

Bagaimanapun, Agenda Daily difahamkan keputusan itu bergantung kepada kehadiran Zahid pada mesyuarat MKT yang dijadual Ahad ini.

Jika Zahid hadir kemungkinan tidak ada ahli MKT yang berani mengusulkan supaya beliau berehat – kecuali jika Zahid sendiri sedar dirinya ‘dibicarakan’ oleh ahli akar umbi UMNO, beliau akan menyerahkan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan mempengerusikan mesyuarat itu.

Jika hal sedemikian berlaku, ahli MKT boleh menggunakan Fasal 5.7 yang menyatakan ‘Majlis Tertinggi berhak membuat apa-apa keputusan atas mana-mana permohonan pendaftaran keahlian atau taraf sesuatu pendaftaran itu (termasuk menarik balik pendaftaran) dan keputusan itu adalah muktamad.’

Ahli MKT juga boleh menggunakan Fasal 10.7 untuk mengambil tindakan terhadap Zahid. Fasal itu menyatakan Majlis Tertinggi (MT) boleh menentukan taraf pendaftaran seseorang ahli (mengikut Fasal 5.7), menggantung atau melucutkan keahlian seseorang ahli.

Fasal itu bertepatan dengan apa yang pernah berlaku 2009 lalu di mana MKT UMNO dalam mesyuarat selama kira-kira dua jam membuat keputusan ahli yang menghadapi dakwaan di mahkamah akan digantung daripada jawatan dalam parti serta-merta.

Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Razak berkata, MT UMNO secara prinsipnya menerima syor Jawatankuasa Pengurusan parti untuk menguatkuasakan peraturan berkenaan.

“Kita dari segi prinsipnya bersetuju atas syor Jawatankuasa Pengurusan bahawa sesetengah orang itu yang dikenakan tuduhan di mahkamah, jawatannya (dalam parti) akan digantung,” katanya selepas mesyuarat 29 Mei 2009 itu.

Malah MT pernah menggugurkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Labuan yang disandang Datuk Suhaili Abdul Rahman pada 2009 berikutan pendakwaan terhadap beliau di mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan palsu.

Memetik laporan Utusan Malaysia pada Khamis seorang pengamal undang-undang, Datuk Adnan Seman tidak menolak kemungkinan MT UMNO akan menggunakan keputusan 2009 untuk ‘membicarakan’ Zahid dan beberapa lagi pemimpin UMNO yang sedang berdepan kes mahkamah.

Antara mereka yang mempunyai kes mahkamah termasuk Najib yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana milik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga sedang dibicarakan atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya daripada Najib, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2013.

Turut berdepan hukuman mahkamah ialah Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sekarang ini mengemukakan rayuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah menerima suapan sebanyak RM2 juta.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad juga berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN.

Demikian juga Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 28 hingga 30 Jun serta 1 dan 2 Julai untuk pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah secara lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan itu atau memerintahnya membela diri.

Mengulas lanjut Adnan berkata MT mempunyai kuasa penuh menentukan sama ada jawatan mana-mana pemimpin UMNO boleh digantung atau perlu direhatkan sehingga kes mahkamah mereka selesai.

Bagaimanapun, katanya, peraturan itu dilihat tidak lagi digunakan sekarang walaupun ada pemimpin tertinggi parti yang berdepan kes mahkamah.

Namun, sebagaimana Agenda Daily difahamkan, keputusan menggunakan fasal berkenaan bergantung kepada kehadiran Zahid di dalam mesyuarat MKT Ahad ini, kerana sebagaimana diketahui umum, majoriti ahli MT UMNO adalah pengikut Zahid.

Tiada ulasan: