HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 April 2021

Sekolah vernakular: NGO desak kerajaan henti amal 'hukuman terpilih'

Dua pertubuhan pejuang bahasa ibunda bersama NGO kitabantukita.org hari ini menyatakan rasa kesal dengan sikap kerajaan pusat yang didakwa berdiam diri terhadap "ancaman" terhadap sekolah vernakular.

Mereka turut menegaskan bahawa perpaduan negara tidak akan terancam dengan kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Presiden Majlis Bahasa Cina Eddie Heng Hong Chai berkata kerajaan perlu lebih peka dengan amalan 'hukuman terpilih' terhadap isu-isu berkaitan pendidikan.

"Saya membantah sikap berdiam diri kerajaan terhadap pihak mencetuskan impak negatif dan perpecahan terhadap sekolah vernakular, pada masa yang sama cuba menghukum individu-individu yang berkumpul secara aman mempertahankan sekolah vernakular.

"Kerajaan perlu hentikan hukuman terpilih sebegini," katanya dalam sidang media hari ini di Kuala Lumpur hari ini.

Heng berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno Subang mengadakan bantahan berhubung pembinaan sekolah vernakular Cina di Bandar Kinrara, Puchong, baru-baru ini.

Dia menambah tindakan pihak penguatkuasa menuduh tujuh individu di mahkamah kerana mengadakan demonstrasi terhadap pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular sebelum ini sebagai pilih kasih.

Eddie Heng Hong Chai

"Ketika segelintir orang di Jerantut mengadakan demonstrasi secara aman terhadap keputusan kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah vernakular boleh dikenakan tindakan mahkamah, tiada sebarang tindakan ke atas pihak yang membantah pembinaan sekolah Cina dengan alasan kononnya di situ adalah kawasan Melayu.

"Ini patut dihentikan. Jika gagal ia akan membawa perpecahan kepada perpaduan negara," katanya.

Turut hadir, pengasas bersama gabungan Pasukan Bertindak Seni Khat (Sekat) Arun Dorasamy dan Shashi Kumar, serta Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi yang mewakili kitabantukita.org.

Untuk rekod, pada 19 April ketua Umno Subang Armand Azha Abu Hanifah bersama penduduk kawasan Bandar Kinrara mengadakan protes mendakwa pembinaan SJKC Too Joon Hing sebagai tidak seimbang dengan populasi penduduk di situ.

Sementara itu, Mohd Tajuddin menolak dakwaan perpaduan negara terancam kerana rakyat negara ini mempelajari bahasa selain bahasa Melayu.

"Mengikut sejarah, Hang Tuah fasih dalam 12 bahasa. Maka, mempelajari lebih satu bahasa adalah bagus," kata pakar seni bina Islam itu.

Tiada ulasan: