SHAH ALAM - Ramai yang menyangka selepas selesainya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Ahad lalu, segala-galanya kembali normal dan kehangatan politik dalam parti itu reda tetapi hakikat menunjukkan sebaliknya.
Telah ada cadangan yang mendesak agar pemilihan pucuk pimpinan parti itu disegerakan sepertimana yang disuarakan Ahli Parlimen Rembau dan bekas calon presiden dalam pemilihan lalu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy berpandangan, UMNO perlu menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan kepimpinan yang jelas, padu dan mendapat mandat akar umbi.
Beliau malah menegaskan yang semua pihak termasuk mereka dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tahu yang UMNO tidak boleh berterusan seperti ini (tanpa kepimpinan yang jelas dan kukuh).
Pandangan Khairy itu dengan segera ditempelak bekas Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berpandangan, mengadakan pemilihan parti sekarang akan melemahkan UMNO dan memecahbelahkan perpaduan parti, namun Khairy pantas menjawab dengan berkata, keputusan UMNO menunda pemilihan parti agar diadakan selepas PRU14 tidak juga membantu Barisan Nasional (BN), malah mereka tewas dan hilang kuasa buat pertama kali di peringkat pusat dan sebahagian besar negeri.
Sementara itu, sudah ada pemimpin dari akar umbi yang secara berterus terang mahukan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi segera berundur. Ini semua memberi gambaran ‘perang saudara’ dalam UMNO atau UMNO berada dalam situasi ‘berantakan’ hanya menunggu masa untuk berlaku.
Yang terkini datang daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang yang menegaskan, Ahmad Zahid perlu menerima hakikat apa yang berlaku pada pasca PAU tidak menampakkan beliau dihormati majoriti kepimpinan tertinggi parti. Jelasnya, hal itu terbukti menerusi usul penggulungan Ahmad Zahid yang mahukan semua pemimpin UMNO yang memegang jawatan menteri, timbalan menteri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletakkan jawatan, tidak diendahkan.
“Lebih malang, bila Ahmad Zahid menegaskan BN akan bergerak solo dalam PRU15 tanpa berbincang terlebih dahulu dengan rakan-rakan parti komponen utama yang lain seperti MCA dan MIC,” ujarnya.
Bahkan Ahmad Zahid ‘memberi amaran’ kepada Pas, yang Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang hadir pada pembukaan PAU. Hadi kemudian dilihat dengan tergesa-gesa keluar meninggalkan PAU selepas partinya dikritik oleh Ahmad Zahid.
Oleh itu, tegas Mohd Helmi, Pemuda UMNO Bahagian Pontian mengulangi gesaan supaya Ahmad Zahid berundur dan ‘berehat’ dari dunia politik secara terhormat bagi memberi laluan kepada muka baharu.
“Bagi saya, PAU 2020 seolah-olah dijadikan medan mempertahankan individu dan menyerlahkan ketidaktentuan hala tuju politik yang cuba dibawa kepimpinan tertinggi UMNO yang diketuai oleh Ahmad Zahid sendiri.
“Proses merawat atau mengubati parti adalah lebih baik daripada menyokong tanpa arah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Berpecah dua
Kemelut dalaman UMNO amat jelas kelihatan menerusi fraksi yang menyokong Ahmad Zahid serta fraksi pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan PN dan tidak menyokong presiden parti secara jelas. Ada juga yang menyatakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berpotensi untuk membentuk satu lagi fraksi.
Hal itu berpunca daripada tindakan Ahmad Zahid yang mencabar mana-mana pemimpin UMNO supaya meletakkan jawatan dalam kerajaan PN dengan segera.
Bagaimanapun para perwakilan pada PAU akhirnya menyerahkan soal itu kepada Ahmad Zahid dan MKT parti untuk menentukan bilakah tarikh yang sesuai untuk melepaskan jawatan.
Pada Isnin, kesemua menteri dan beberapa timbalan menteri UMNO telah berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan hasil pertemuan itu, mereka bersetuju menerima nasihat perdana menteri agar terus kekal dalam kabinet dan kerajaan.
“Mereka lebih mendengar nasihat perdana menteri daripada mendengar nasihat presiden UMNO, itulah situasinya sekarang dan sudah tentu ini tidak baik untuk imej Zahid,” ujar seorang pemimpin UMNO.
Dalam pada itu, Khairy dalam kenyataan terbarunya menegaskan, segala-galanya bergantung kepada keputusan MKT untuk menentukan tarikh muktamad pemilihan dalam parti tetapi seorang lagi pemimpin parti menyatakan jika menunggu keputusan MKT, sampai bila pun tidak akan dapat jawapannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan