JOHOR BAHRU – Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk
Mohd Khairuddin Aman Razali menolak sekeras-kerasnya tohmahan DAP yang
mendakwa parti itu sebagai parti paling berbahaya dalam Kerajaan
Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, tomahan itu seolah-olah melihatkan kerisauan DAP dengan ideologi mereka sendiri.
“Pas hanya bahaya pada DAP kerana ideologi parti itu bertentangan dengan ideologi kami yang mengutamakan Islam.
“Itu amat menakutkan DAP sebenarnya,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau dan Menteri Besar, Datuk Hasni
Mohammad, menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman
(MoU) antara Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan KPRJ
Builders Sdn Bhd (KBSB).
Semalam, media melaporkan, DAP menyifatkan bekas rakan
komponennya dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat iaitu Pas
sebagai parti paling berbahaya dalam kerajaan PN.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata,
ini kerana hasrat Pas untuk melaksanakan persempadanan semula yang
berpihak kepada orang Melayu seandainya menang dua pertiga dalam Pilihan
Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah Dasar Aparteid yang menafikan hak bukan
Islam.
Mengulas lanjut isu persempadanan semula yang didakwa
DAP, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, ia
adalah menjadi impian semua parti.
“Mana ada parti yang tak mahu luaskan lagi penguasaan dia. Itu realitinya.
“Tanyalah pada DAP, dia pun mahu menguasai Malaysia menerusi persempadanan semula,” katanya.
Beliau berkata, adalah menjadi hak rakyat terutama orang Islam meluaskan penguasaan sebanyak mungkin di Parlimen.
“Menjadi hak rakyat Malaysia terutama orang Islam untuk meluaskan wakil Parlimen terutama membabitkan negeri di Pantai Timur
“Memanglah DAP sebagai pembangkang akan dakwa ia
merugikan namun adalah tidak benar dakwaan parti itu yang menyatakan
persempadanan semula berpihak kepada orang Melayu seandainya menang dua
per tiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti adalah dasar
aparteid yang menafikan hak bukan Islam,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan