HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 April 2021

Mas Ermieyati tak kisah digelar `katak'

MASJID TANAH: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan, beliau tidak kisah digelar sebagai `katak' oleh pihak tertentu kerana yang paling utama baginya ialah berkhidmat untuk rakyat.

Beliau menegaskan, ada pihak tertentu melabelkannya sebagai `katak' yang gemar melompat kononnya untuk mencari tempat lebih baik dalam politik sedangkan hakikatnya, tindakannya adalah semata-mata untuk berkhidmat kepada anggota komuniti.

"Orang cakap saya `katak', biarlah apa yang mereka hendak kata asalkan yang penting saya terus berkhidmat untuk rakyat di Masjid Tanah.

"Saya tidak pernah lari dari Masjid Tanah dan saya sanggup berulang-alik dari Masjid Tanah ke pejabat di Putrajaya...saya empat hari seminggu ada di Masjid Tanah," katanya berucap pada majlis ramah mesra dengan nelayan di Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB), di Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Seramai 209 nelayan ahli persatuan itu menerima sumbangan wang tunai RM150 dan baucar makanan RM50 untuk meringankan beban menyambut Ramadan.

Yang turut hadir, EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Rosli Mustapa serta Pengerusi PNKMB, Mazelan Bakar.

Mas Ermieyati yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Masjid Tanah berkata, rakyat boleh melihat perjuangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membela nasib rakyat.

"Bukan mudah Tan Sri Muhyiddin ketika mengambil alih pentadbiran negara dalam keadaan negara terpaksa menghadapi cabaran pandemik COVID-19 dan ekonomi negara pula dalam keadaan tidak baik.

"Orang cakap macam-macam fasal Perdana Menteri tetapi beliau terus bekerja dan mampu menghadapi cabaran besar dengan tabah dan sabar," katanya.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati mengingatkan nelayan supaya sentiasa bersyukur dengan pebagai bantuan kerajaan, terutama Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) yang dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan mulai Februari lalu, selain subsidi petrol dan diesel.

Mas Ermieyati yang juga bekas Ketua Puteri UMNO keluar daripada UMNO pada 1 Julai 2018, iaitu dua bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebelum mengemukakan borang keahlian BERSATU kepada bekas Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan Disember 2018.

Mas Ermieyati, 45, yang memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU-13 atas tiket Barisan Nasional (BN), disahkan sebagai ahli BERSATU Cawangan Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah pada 31 Disember 2018.

Tindakan beliau keluar UMNO menerima kritikan hebat daripada pemimpin dan ahli UMNO, terutama di bahagian Masjid Tanah.

Tiada ulasan: