HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 April 2021

Orang Melayu marah pada Raja-Raja kerana darurat, kata Dr Mahathir

 



(FMT) – Dr Mahathir Mohamad mendakwa, orang Melayu sudah mula menyuarakan kemarahan kepada Raja-Raja Melayu susulan pelaksanaan darurat oleh kerajaan sehingga Parlimen tidak boleh bersidang.

Bekas perdana menteri berkata, kemarahan itu akibat penderitaan mereka kerana negara diletakkan bawah perintah darurat atas permintaan kerajaan untuk tujuan politik, dan bukan bagi memerangi Covid-19.

“Kebiasaannya, orang Melayu sukar untuk (menentang institusi Raja), tetapi sudah ada tanda-tanda ke arah itu.

“Mungkin kerajaan tidak sampaikan maklumat cukup kepada Agong, kerana segalanya diletakkan di bahu Agong, apa juga tindakan (kerajaan) dikatakan atas arahan Agong, sebab itu rakyat sekarang tidak seperti biasa, mereka tidak senang dengan keadaan ini.

“Orang Melayu biasa tak derhaka kepada raja. Tapi sekarang….kita dapat ikuti (keluhan mereka) dalam media sosial. Adalah sesuatu yang tidak biasa untuk orang Melayu menentang Raja-Raja kami,” katanya kepada pemberita selepas menghantar permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara.

Mahathir berkata, cara pewartaan darurat pada Januari lalu oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin menunjukkan seolah-olah segala pelaksanaannya dibuat atas perintah Agong, sekali gus menyebabkan rakyat marah kepada Istana sedangkan nasihat yang diberikan kepada Agong oleh kerajaan tidak tepat.

“Adalah penting untuk ini (sentimen rakyat) disampaikan kepada Agong. Jika tidak, mereka (kerajaan) mungkin melakukan sesuatu yang boleh menambahkan lagi kemarahan rakyat,” katanya.

Mahathir bersama Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Samad dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, memasuki Istana Negara pada 3.30 petang untuk menghantar permohonan menghadap Agong bagi memohon penamatan proklamasi darurat .

Turut hadir, Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir, Tian Chua dan Fahmi Fadzil dari PKR, manakala DAP diwakili Hannah Yeoh, Lim Lip Eng and Teresa Kok.

Ramai pihak, termasuk Mahathir, pembangkang dan kalangan pemimpin Umno sendiri, menuduh Muhyiddin memberikan gambaran salah untuk meyakinkan pihak Istana keperluan darurat.

Mereka mendakwa, darurat memberi kuasa luas kepada Perdana Menteri dan kerajaan untuk melakukan apa yang perlu bagi mengekalkan kuasa ketika keabsahan kerajaan dipertikaikan.

Antara lain, perisytiharan darurat menyebabkan Parlimen tidak boleh bersidang dan pilihan raya umum tidak boleh diadakan.

Kerajaan menafikan tuduhan itu dan menegaskan negara perlu diletakkan bawah darurat untuk membolehkan tindakan lebih berkesan diambil bagi menangani wabak Covid-19.

Sementara itu, Khalid berkata, pihaknya kali pertama menghantar permohonan untuk menghadap Agong pada 26 Mac, namun, tiada maklum balas daripada pihak Istana, menyebabkan permohonan kedua dihantar hari ini.

“Jawatankuasa akan datang lagi (hantar permohonan untuk mengadap). Kalau lepas sebulan ke sebulan setengah, masih tidak ada jawapan untuk benarkan menghadap, kita akan datang bawa surat lagi dengan bukti tambahan betapa darurat merumitkan. Kita yakin Agong akan setuju untuk kita menghadap sebab kami wakil rakyat jelata,” katanya.

Tiada ulasan: