HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 April 2021

Pemuda UMNO Perak tawar khidmat guaman

 Oleh ASLIZA MUSA

Tangkap layar gambar pelajar yang dikompaun di Matrikulasi Perak, Gopeng atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.

IPOH – Sekretariat Undang-Undang dan Perlembagaan Pemuda UMNO Perak sedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pengerusinya, Faridzul Azlan Abd. Shani berkata, khidmat itu disediakan kepada pelajar terlibat yang dikenakan denda ekoran tidak memakai pelitup muka di kawasan kolej.

Katanya, langkah sewajarnya juga akan diambil memandangkan mereka terkejut dengan tindakan saman oleh anggota penguatkuasa.

“Saya difahamkan, pelajar-pelajar di Kolej Matrikulasi itu terkejut dengan tindakan saman oleh pihak berkuasa di dalam kampus mereka.

“Kehadiran pihak berkuasa sepatutnya ditumpukan kepada isu-isu keselamatan lain di kolej berkenaan tetapi sebaliknya pula berlaku.

“Tindakan tidak bertimbang rasa ini bukan sahaja menyebabkan tekanan malah gangguan emosi dan psikologi kepada pelajar yang telah lima bulan berada dalam kawasan asrama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, selain mengenakan kompaun, Kementerian Kesihatan (KKM) atau mana-mana pihak berkuasa perlu menggunakan budi bicara semasa menjalankan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitternya hari ini memberitahu bahawa Jabatan Kesihatan Perak sedang menjalankan siasatan kes berkenaan. – K! ONLINE

Tiada ulasan: