HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 April 2021

Peguam: Tiada bukti dokumen Najib terima perolehan haram dari 1MDB

Malaysiakini

Pihak pendakwaan gagal memberikan bukti dokumen untuk membuktikan dana 1MDB masuk ke akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Peguam Najib, Tania Scivetti berkata demikian ketika pendengaran saman lucut hak kerajaan terhadap wang dan aset didakwa berkaitan 1MDB daripada Najib dan 17 pihak lagi.

Pada 8 Mei 2019, Pejabat Peguam Negara memfailkan saman lucut hak terhadap Najib dan 17 pihak, merangkumi individu dan syarikat.

Tindakan undang-undang itu untuk berhubung sitaan ratusan barangan termasuk bag tangan meweah serta 27 buah kenderaan yang dirampas daripada 18 responden.

Ketika pendengaran di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini, Scivetti berkata terdapat jurang material dalam naratif pendakwaan berhubung bagaimana wang dalam akaun Najib berasal daripada 1MDB.

Katanya, pendakwaan gagal memberi bukti dokumen seperti penyata bank 1MDB bagi menunjukkan aliran dana daripada syarikat itu melalui beberapa entiti termasuk Good Star Limited, dan akhirnya ke akaun Ambank dengan nombor berakhir 694 milik Najib.

Good Star didakwa berkaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low. Pihak berkuasa masih dalam usaha mengesannya pada masa ini.

Menurut Scivetti, afidavit oleh pegawai penyiasat Senior Asisten Komisioner R Rajagopal dan Superintendan Foo Wei Min hanya menunjukkan pergerakan wang yang masuk dan keluar daripada akaun Najib.

Tania Scivetti

Katanya, dengan hanya menunjukkan pergerakan wang, ia tidak memadai untuk membuktikan harta yang disita diperolehi daripada kegiatan yang melanggar undang-undang.

Dapatan dua pegawai penyiasat itu bergantung kepada pendakwaan dalam satu lagi kes iaitu perbicaraan jenayah terhadap Najib melibatkan RM2.28 dana 1MDB.

Pendengaran hari ini berkaitan saman sivil pendakwaan bagi melucut hak wang dan harta daripada Najib dan 17 pihak lain.

"Selain daripada kenyataan (averment) tanpa sokongan bukti, tiada asas untuk kedua-duanya, Rajagopal dan Foo untuk menyimpulkan yang wang yang diterima responden pertama (Najib) daripada pelbagai entiti adalah hasil daripada kesalahan berkaitan di bawah Seksyen 409 dan 411 Kanun Keseksaan," kata Scivetti lagi.

Seksyen 411 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan pecah amanah jenayah oleh penjawat awam, manakala Seksyen 411 bagi kesalahan menerima harta curi secara curang.

"Memandangkan kesalahan berkaitan (predicate offence) tidak dilakukan, tiada kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," kata Scivetti.

Menurut Seksyen 4(1) akta tersebut, individu yang terlibat, bersubahat atau cuba terlibat daam pengubahan wang haram boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5 juta, penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Pendakwaan gagal menunjukkan hubungan antara jam dan barang kemas yang dirampas dan sebarang hartanah yang disenarai dalam notis lucut hak diperolehi daripada wang 1MDB.

"Afidavit daripada Rajagopal dan Foo tidak mengabsahkan hujah pendakwaan untuk lucut hak, justeru kami memohon agar (permohonan lucut hak) ditolak," katanya lagi.

Dia juga mendakwa Rajagopal gagal menunjukkan bagaimana Najib diberi kepercayaan terhadap, mahupun mengawal, perolehan daripada dua penerbitan bon 1MDB berjumlah US$ 1.367 bilion.

Pendakwaan berkata perolehan itu terlibat dalam pergerakan wang yang rumit dalam kes 1MDB.

Dalam pendengaran sebelum ini, pendakwaan juga berkata dana daripada 1MDB dicuci dalam tiga fasa selama beberapa tahun.

Mereka mendakwa dalam fasa Good Star, sebanyak US$120 juta didakwa masuk ke akaun Najib, kemudian fasa Aabar menyaksikan US$170 juta lagi masuk, dan seterusnya fasa Tanore dengan US$681 juta dimasukkan ke akaunnya.

Hari ini, Scivetti juga berhujah Rajagopal gagal menunjukkan bagaimana Najib terlibat dalam dakwaan aliran wang tersebut.

Pendengaran bersambung 18 Jun ini, di mana pendakwaan dijangka memberi hujah balas terhadap pasukan peguam Najib.

Tiada ulasan: