HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 April 2021

Peraturan SPR boleh jejaskan kempen BN jika Zahid masih nombor 1

Ahmad Mustakim Zulkifli

Adakah wajah pemimpin utama BN itu di poster mampu raih undi pilihan raya?

Peraturan mengenai poster kempen yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) mungkin akan menjejaskan gabungan itu sekiranya mereka bertanding secara solo pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mendesak Umno untuk bertanding di bawah bendera gabungan politik tersebut selepas mendapat mandat Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini bagi memutuskan hubungan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hal ini bermakna, setiap calon Umno yang bertanding di bawah logo BN mungkin menggunakan poster yang mengandungi gambar Zahid.

Namun, ketika presiden Umno itu berdepan pelbagai pertuduhan rasuah, wajah kempen pilihan raya BN itu dilihat bakal memberikan kelebihan kepada calon lawan.

Hanya beberapa hari sebelum kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), SPR mengeluarkan keputusan sebuah parti politik hanya boleh menggunakan gambar dua pemimpin utama di poster kempen, selain gambar calon di kawasan yang dipertandingkan.

MalaysiaNow difahamkan peraturan yang menaikkan momentum Pakatan Harapan (PH) sehingga memenangi PRU14 itu masih berkuatkuasa.

“Kami tidak pernah batalkan peraturan itu,” kata sumber di SPR, sementara jurucakap lain mengesahkan peraturan tersebut masih terpakai.

“Garis panduan” SPR, yang dikeluarkan beberapa hari sebelum kempen pilihan raya berlangsung pada 2018, menghalang gambar Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim digunakan oleh PH di seluruh negara.

Mahathir yang ketika itu memimpin gabungan PH, sementara Anwar masih menjalani hukuman penjara kes kesalahan liwat.

Kedua-dua pemimpin itu kemudian mendapat sokongan luas selepas menguburkan perseteruan mereka dan menggunakan skandal 1MDB perdana menteri Najib Razak ketika itu sebagai modal kempen.

Kali ini, masih belum dapat dipastikan sama ada Zahid akan menjadi wajah poster untuk kempen BN.

Penganalisis berkata jika gambar Zahid digunakan, gabungan politik itu mungkin tidak dapat meraih undi pada PRU15.

Mereka berkata, ia adalah ekoran pertuduhan rasuah yang dihadapi pemimpin Umno itu dan perbicaraannya yang sedang berlangsung di mahkamah.

Penganalisis Hisommudin Bakar berkata Zahid tidak memiliki “aura kemenangan”.

Hisomuddin menambah hal yang sama berlaku bagi sebilangan besar pengundi Najib, walaupun popularitinya dalam kalangan pengguna media sosial Melayu, mendapat sokongan dengan gelaran “Bossku”.

“Kempen Malu Apa Bossku diterima baik malah beliau kini amat aktif berperanan mengangkat isu rakyat melalui media sosial. Posting beliau sangat trending.

“Cuma bagi segmen pengundi bukan Melayu, imej kleptokrat pada Najib amat menebal dan sukar diterima,” kata Hisommudin, dari Ilham Centre, kepada MalaysiaNow, menggunakan istilah yang digunakan oleh pihak berkuasa AS ketika mendedahkan skandal kewangan 1MDB bernilai berbilion dolar .

Hisommudin berkata ketika ini Umno sukar menampilkan figura yang bersih dan segar sebagai calon PM atau “poster boy”.

Beliau menamakan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan, Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebagai antara nama yang akan menjadi pilihan yang lebih baik untuk menghiasi kempen pilihan raya BN.

Bagaimanapun, Hisommudin berkata walaupun pemimpin-pemimpin tersebut tidak mempunyai pertuduhan mahkamah berkaitan rasuah, mereka tidak mendapat banyak sokongan dalam Umno.

Dalam isu Khairy, Hisommudin berkata menteri itu “kurang popular” dalam kalangan “kumpulan lama dalam Umno”.

“Tetapi kelebihan beliau ialah pemimpin muda yang  membawa idea segar dan progresif di dalam Umno,” tambahnya.

Khairy tewas kepada Zahid ketika merebut jawatan presiden semasa pemilihan Umno diadakan kira-kira dua bulan selepas kejatuhan parti itu pada 2018.

Khairy juga muncul sebagai pengkritik lantang Zahid ketika presiden Umno itu melancarkan serangan terhadap kerajaan PN.

Baru-baru ini, beliau turut mendesak kepimpinan Umno untuk mendapatkan mandat baru melalui pemilihan parti sebelum berdepan PRU15.

Tiada ulasan: