Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Perkasakan Muafakat Nasional bentuk pakatan lebih kuat
BANGI – UMNO perlu mengemukakan calon berwibawa yang tidak terpalit dengan kesalahan atau tuduhan jenayah, sekiranya mahu meneruskan hasrat bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Hakikatnya, perkara itu memerlukan kekuatan besar dari UMNO, kerana Presiden parti itu sendiri terpalit dengan tuduhan jenayah.
UMNO juga dipercayai akan kehilangan sokongan undi dari kelompok yang sudah jemu dengan politikus tidak amanah, di samping akan kehilangan sokongan dari penyokong Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) jika tidak mahu melakukan rombakan besar parti.
Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, sokongan dari ahli UMNO sendiri sukar dijangkakan dengan pergolakan dalaman UMNO sekarang.
“Ramai pihak memberikan pandangan bahawa UMNO tidak akan mampu bertanding bersendirian. Saya nampak pandangan ini adalah pandangan politik yang amat popular kerana rata-rata kita masih lagi yakin bahawa mana-mana parti perlu bergabung sama ada di bawah PN atau PH untuk menang.
“Jika UMNO ingin bertanding bersendirian, dia boleh meraih sokongan melalui undi satu kelompok pengundi yang sudah jemu dengan politikus yang tidak amanah.
“Kelompok ini wujud, cuma kurang diperhatikan dan diambil kira dalam gerak kerja mana-mana parti. Cuma bilangan dan kekuatannya tidak diketahui secara tepat kerana masih tidak ada kajian konkrit yang dilakukan untuk mengukur saiz mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Dalam pada itu, Ustaz Fauzi yakin parti-parti bukan Melayu sudah memposisikan diri mereka di dalam PH dan sekarang mula memposisikan diri mereka di dalam PN.
“Saya yakin bahawa kesemua parti itu sebenarnya memainkan peranan yang sama dalam pakatan-pakatan politik yang berbeza.
“Pilihan juga kepada UMNO untuk memilih untuk bersama mana-mana pakatan politik tersebut tetapi ia mesti menjadi parti yang dominan dalam menentukan hala tuju.
“PN mungkin lebih mudah untuk didominasi berbanding PH yang didominasi oleh DAP. Memecahkan dominasi parti bukan Melayu di dalam pakatan politik memang sepatutnya menjadi salah satu objektif mana-mana parti Melayu Islam,” katanya.
Dalam keadaan pilihan yang sukar tersebut, beliau berpandangan pilihan yang baik untuk UMNO adalah kembali memperkasakan Muafakat Nasional bersama PAS yang menjadi harapan majoriti umat Islam.
“Saya yakin jika UMNO dan PAS ‘solid’ berpakat, Bersatu akan memohon untuk bersama-sama mereka di dalam pakatan tersebut. Parti-parti Melayu Islam lain juga akan bergabung membentuk pakatan yang lebih kuat,” katanya.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Persidangan Agung UMNO 2020 berkata, BN dan parti gabungan yang ditunjangi UMNO memutuskan untuk menghadapi PRU-15 secara bersendirian.
Zahid dilaporkan berkata, UMNO memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam kerajaan PN, selepas mendapati parti itu gagal menunaikan janji untuk mengadakan PRU bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.
“Agak menghairankan, PRU yang sepatutnya diadakan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat, berubah kepada proklamasi darurat atas alasan untuk memerangi COVID-19, sedangkan kita semua tahu hasrat sebenar. Tidak perlu sembunyikan udang di sebalik batu,” dakwanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan