“JANGAN jadi langau media sosial ke, tolong hentikannya.”
Demikian teguran Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pemimpin parti itu supaya lebih bijak ketika membuat kenyataan.
Sehubungan itu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menasihatkan supaya pemimpin UMNO berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan dalam parti tersebut.
Ia kerana kata Mohamad, waktu ini adalah tempoh bertenang bagi semua.
“Saya minta pemimpin-pemimpin parti jangan buat kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi suasana, berehatlah sekejap, tolong, tak boleh jadi garam, jangan jadi langau media sosial ke, tolong hentikannya.
“Walaupun dalam ini (dada) banyak api tapi kepala mesti sejuk, sebagai pemimpin kepala mesti sejuk jangan keluar api,” katanya seperti dilapor BERNAMA.com.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Isi Minyak Percuma dan Santai Anak Muda serta Kempen Mari Daftar Vaksin Covid-19 di Seremban, hari ini.
Pada masa sama, Mohamad berkata, menteri dan timbalan menteri UMNO sepatutnya bertemu dengan kepemimpinan tertinggi parti terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan mengenai kedudukan mereka dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut menyifatkan tindakan membuat keputusan tanpa meminta panduan daripada kepimpinan tertinggi parti itu merupakan kepincangan dalam kebijaksanaan.
“Kita tidak suruh pun menteri letak jawatan pada hari yang sama, kalau ya pun nak letak jawatan, jumpa kepemimpinan parti, jumpa saya sekurang-kurangnya, saya akan nasihatkan dahulu yang sebetulnya,” katanya.
Penghujung bulan lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa barisan Kabinet akan berfungsi seperti biasa selepas semua menteri daripada UMNO bersepakat untuk terus kekal menganggotai jemaah menteri.
Ia selepas menteri-menteri UMNO bertemu Perdana Menteri bagi meminta nasihat mengenai kedudukan dalam Kabinet ekoran keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mengulas mengenai pemilihan UMNO, Mohamad berkata, keputusan untuk menyegerakan pemilihan parti itu ketika ini akan membawa kepada perpecahan dan ia seolah-olah memberi ‘peluru’ kepada parti lawan selain turut mendatangkan ‘kecederaan’ pada parti.
“Kita tak boleh kata tak ada, dari segi pengurusan parti, kita ada garis masa, kita tidak pula kata mahu tangguh sampai 18 bulan, itu sebabnya kita akan ikut turutan parti bahawa kita nak lihat PRU-15 diadakan pada Ogos,” jelas beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu bagaimanapun berkata, UMNO juga tidak akan menunggu sehingga tempoh 18 bulan untuk mengadakan pemilihan, malah Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga memaklumkan ia boleh dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya dalam UMNO apabila pemilihan parti diadakan Mohamad berkata, keutamaannya ketika ini adalah hanyalah untuk menghadapi PRU-15.
Sementara itu, Mohamad berkata agenda untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) masih diteruskan sekali gus mahu kerjasama itu kekal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan