HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Januari 2008

BPR siasat dakwaan seleweng pembikinan klip video.



PUTRAJAYA: Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kes dakwaan penyelewengan pembikinan klip video promosi pelancongan di Korea Selatan sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah.

Beliau berkata siasatan dalaman mendapati tiada penyelewengan terhadap pembikinan klip video itu bagaimanapun terdapat satu dua perkara yang masih kabur dan sedang disiasat BPR.

Katanya siasatan dalaman dibuat kerana ada aduan yang dikemukakan dan pihak kementerian mahu memastikan kebenarannya sebelum sebarang penyelewengan yang ditemui dimaklumkan kepada BPR.

Tengku Adnan berkata daripada laporan yang diterimanya daripada badan
inkuiri dalaman itu kelihatan bahawa pembikinan klip video itu mengikut prosedur dan tiada penyelewengan kerana ia mengikut apa yang dikehendaki kementerian.

Hanya ada satu dua perkara yang masih kabur dan BPR sudah mula menyiasat, katanya kepada pemberita tentang dakwaan dua orang pegawai Tourism Malaysia di Seoul terlibat dalam penyelewengan berhubung penerbitan sebuah klip video menelan belanja 213 juta won (RM850,000) bagi mempromosi Malaysia di Korea Selatan.

Beliau berkata seorang daripada pegawai yang didakwa itu bagaimanapun telah diarah kembali ke Kuala Lumpur dan tidak diberikan sebarang tugas sementara siasatan dilakukan dan seorang lagi akan turut pulang ke Malaysia.

Dakwaan mengenai penyelewengan itu disiarkan dalam sebuah portal berita tempatan yang memetik sumber bahawa keduadua pegawai itu menyalahguna kuasa dan menyeleweng wang melalui penerbitan klip video yang menggambarkan destinasi menarik di negara ini untuk tujuan promosi di Korea Selatan.

Portal itu mendakwa bahawa hak penerbitan klip video itu diberikan kepada sebuah syarikat "atas angin" yang didaftar menggunakan nama beberapa rakyat Korea yang merupakan rakan pegawai berkenaan.

Mengenai hak penerbitan itu, Tengku Adnan berkata: "Saya tidak tahu ada such job awarded kerana saya tidak campur tangan dalam urusan tender atau beri projek."

Beliau bagaimanapun berkata seorang daripada pegawai yang didakwa itu telah diarah kembali ke Kuala Lumpur dan tidak diberikan sebarang tugas sementara siasatan dijalankan dan seorang lagi akan turut pulang ke Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata sebuah pusat Giat Mara akan dibuka di Putrajaya dalam masa terdekat bagi membolehkan warganya, lepasan SPM, mengikuti kursus-kursus teknikal. BERNAMA

Tiada ulasan: