Di mana suara Shahrizat membela wanita dalam kes Soi Lek?.
Roy Rasul.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Isu skandal seks bekas Menteri Kesihatan Dato' Seri Dr Chua Soi Lek yang menjadi buah mulut rakyat mutakhir ini turut mengheret spekulasi adanya agenda menggunakan wanita sebagai 'habuan seks' dan pemuas 'nafsu serakah' orang politik.
Walaupun dalam kes ini, Soi Lek menarik diri dari gelanggang politik dan meletak jawatan daripada barisan kabinet, isu tersebut tidak boleh dilihat tamat setakat itu sahaja.
Namun satu kebiasaan dalam kerajaan mengamalkan pendekatan Islam Hadhari, aksi lucah wanita sana-sini sering menghiasi dada-dada akhbar, malah ada kalangan pemimpin wanita muslim Umno yang merelakan pekerjaan memperdagangkan wanita sebagai pemuas nafsu (pelacur) jika keadaan mendesak.
Mengulas isu tersebut Timbalan Ketua Wanita Dewan Muslimat PAS Pusat, Wan Hasrina Hassan berkata, wanita seringkali dijadikan barang dagangan terutamanya dalam industri pelacuran.
Katanya, sama ada melibat orang politik, korporat dan orang bawahan, wanita adalah mangsanya.
Namun katanya, dalam hal ini amat dikesalkan apabila agenda pembelaan ke atas nasib wanita ini tidak diutamakan.
"Contohnya kes VCD lucah bekas Menteri Kesihatan baru-baru ini, perlakuannya tidak selari dengan kempen yang dibawa oleh kementerian supaya masyarakat mengamalkan budaya hidup sihat.
"Dalam isu ini juga masyarakat melihat ia menjadi budaya kehidupan mereka sama ada yang berjaya dibongkar ataupun tersembunyi dalam dairi kehidupan baik para menteri, wakil rakyat mahupun orang korporat," katanya semasa dihubungi baru-baru ini.
Malah dalam kes Soi Lek, apabila kes itu membabitkan menteri kabinet, Menteri Pembangunan Hal ehwal Wanita, Dato' Seri Shahrizat Jalil yang seharusnya 'vokal' dalam kes wanita hanya berdiam diri.
Beliau berkata, sepatutnya Shahrizat bersuara sebagaimana beliau berani bersuara ke atas isu-isu yang melibat jenayah seksual wanita yang tidak membabitkan pemimpin kerajaan.
"Ke mana pergi suaranya untuk perjuangkan kaum wanita sedangkan ramai yang memuji tindakan menteri tersebut berani mengaku orang yang bertangungjawab dalam DVD lucah itu," kataya.
Sebaliknya beliau berkata, implikasi yang ditanggung oleh wanita bersama menteri tersebut tidak ada yang peduli.
Katanya, ini menunjukkan wanita hanya dipergunakan untuk kepentingan politik ataupun perniagaan dan tidak mempunyai harga diri.
Sehubungan itu katanya Muslimat PAS menentang sekeras-kerasnya perbuatan mereka termasuk pemimpin negara yang menganiayai wanita serta menganggap wanita sebagai simbol seks.
Sementara itu Ketua Penerangan Wanita parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Elizebeth Wong, sememangnya ada di kalangan kaum lelaki di Malaysia menganggap wanita sebagai satu objek seks kepada mereka.
Sehubungan itu wanita perlu tingkatkan kesedaran supaya tidak dijadikan bahan pemuas nafsu selain upah politik kepada golongan berkepentingan.
Katanya, ini kerana isu kehormatan wanita bukan setakat VCD lucah menteri kesihatan tetapi banyak lagi kes-kes sama berlaku di negara ini.
Bahkan katanya, isu-isu seperti itu turut dipersendakan sehingga ke dalam Dewan Rakyat dan perkara itu amat memalukan.
Katanya, kerajaa hanya pergunakan kaum wanita semasa pilihan raya tetapi untuk jangka panjang mereka tidak diberi pembelaan.
Dalam pada itu katanya, walaupun Dr Chua telah melepaskan jawatannya dalam kerajaan dan parti ia bukan satu jalan penyelesaian.
Ini kerana katanya, ada lagi masalah besar negara yang perlu dilakukan sama dengan kes menteri berkenaan.
"Kenapa kerajaan tidak pula mendesak menteri atau ahli-ahli parlimen yang menyeleweng dana rakyat seperti yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara 2006 atau kes Zon Bebas Cukai Port Klang (PKZF), sehingga mereka yang terlibat dipecat ataupun meletakkan jawatan seperti Dr Chua yang terlibat dalam skandal seks," katanya. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan