Husam cabar PM buat penjelasan terbuka isu-isu besar.
Wan Nordin Wan Yaacob.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa mencabar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat penjelasan secara terbuka mengenai isu-isu besar yang masih ditutup kerajaan hingga kini.
Perdana Menteri perlu berani tampil dalam forum terbuka dan bukannya diadakan penjelasan secara terhad khusus untuk pimpinan Umno dan tertutup semata-mata, kata Husam dalam satu kenyataannya pada 22 Januari lalu.
Sekiranya berterusan sedemikian, sampai bila-bila rakyat tidak akan dapat mendengar penjelasan secara terang, telus dan berfakta dari mulut Perdana Menteri sendiri.
Antara penjelasan yang perlu dibuat ialah mengenai isu kadar jenayah yang meningkat yang sebahagiannya disebabkan tekanan hidup yang membebankan.
Husam juga mahu Perdana Menteri menjelaskan isu kenaikan harga barang meningkat yang dilihat seperti 'layang-layang putus tali' kerana sikap sambil lewa kerajaan terhadap hal itu.
Ujar Husam, rakyat dibebankan lagi dengan kerajaan sendiri mengenakan kenaikkan harga tol selain kenaikan tarif elektrik walaupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah pun memperolehi keuntungan lebih RM4 bilion setahun.
Selain itu Husam mahu Perdana Menteri menjelaskan tentang kenaikan harga minyak dengan kadar yang dijangka tinggi dengan alasan negara akan bangkrap jika harga tidak dinaikkan mengikut pasaran dunia.
Antara hal lain yang turut difokuskan Husam untuk diperjelaskan Perdana Menteri ialah, kos perubatan yang semakin membebankan, penipuan yuran sekolah percuma;skandal Zon Bebas Cukai Port Klang (PKFZ) yang mencecah kerugian RM 4.3 bilion.
Husam jug mahu kerajaan menjelaskan isu pembelian kelengkapan tentera melalui orang tengah di mana ada syarikat dan individu mengaut keuntungan yang begitu lumayan dan pelaksanaan projek tanpa tender yang mengakibatkan kos yang tinggi sekaligus melemahkan ekonomi negara.
"Saya mencadangkan Perdana Menteri supaya memberikan penjelasan secara terbuka isu-isu yang dinyatakan di atas dengan disiarkan secara langsung di televisyen dengan penyertaan pemimpin pembangkang tanahair," tegasnya. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan