HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Januari 2008

Idris Datuk Bandar ‘di belakang tabir’.
Ditulis oleh WartawanBuletinonline.



Kuala Terengganu – Sehingga semalam, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh telah terus memberi arahan supaya pengurusan Bandaraya Kuala Terengganu menjadi Bandar terbersih kepada Datuk Bandar Kuala Terengganu Arahan secara terbuka dalam Majlis Jamuan Rakyat Bersama TPM, adalah kali yang ketiga sejak perlantikan Dato’ Razali Kassim sebagai Datuk Bandar. Arahan yang pertama adalah sejurus selepas Razali memakai ‘Kalung Perjawatan’ dan menggenggam cokmar jawatan Datuk Bandar.

"Datuk Bandar perlu lebih tegas dalam menjalankan tugasnya serta mengetahui visi apakah itu bandar raya serta dapat memenuhi kehendak penghuninya" kata Idris Jusoh, sebaik sahaja majlis perlantikan selesai di Istana Maziah awal Januari lalu.

Dua hari selepas itu, Idris telah telah membuat arahan kedua melalui kenyataannya kepada media. Idris meminta pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya mengurangkan kerenah birokrasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan bagi membolehkan sesuatu permohonan diluluskan dengan cepat. Ekoran dari arahan itu, Razali telah membuat rombakan untuk menyempurnakan arahan Idris.

Selain dari arahan-arahan yang telah dibuat oleh Idris, dia juga telah meletakkan perancangan projek-projek untuk Kuala Terengganu. Seawal hari pertama diwujudkan jawatan Datuk Bandar Idris meletakkan projek-projek sebagaimana katanya "Apabila menjadi bandar raya, peluang perniagaan dan pekerjaan akan bertambah kerana peruntukan untuk kemudahan awam akan ditambah seperti pembinaan jejambat, jambatan dan jalan-jalan baru bagi mengurangkan kesesakan jalan raya".

Situasi ini dilihat sebagai wujudnya camputangan terus Wisma Darul Iman keatas pentadbiran Bandaraya Kuala Terengganu kerana sehingga kini, sebagai Datuk Bandar yang diberikan peruntukan-peruntukan kuasa, Dato’ Razali belum mengemukakan apa-apa visi kepada warga Kuala Terengganu.

Buletinonline membuat tinjauan diatas isu ini kepada beberapa warga Kuala Terengganu. Umumnya, mereka mahukan seorang Datuk Bandar yang lebih berwibawa, bebas dan mempunyai visi yang jelas.

Namun begitu, hasrat warga Kuala Terengganu itu mungkin tidak tercapai dan Datuk Bandar akan terus dibawah penguasaan Idris, memandangkan Kuala Terengganu adalah bandaraya konsep yang bergantung kepada ‘subsidi’ kerajaan negeri. Sebanyak RM40 juta bantuan telah diberikan oleh kerajaan negeri Terengganu kepada Bandar Kuala Terengganu bagi mencukupkan syarat Kuala Terengganu sebagai Bandaraya. Antara syaratnya adalah Kuala Terengganu mestilah mendapat perolehan pendapatan sebanyak RM80 juta setahun.

Menurut akaun yang berakhir pada 2005, Kuala Terengganu hanya memperolehi pendapat sekitar RM 47 juta sahaja.

Tiada ulasan: