HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Januari 2008

Kesedaran politik Melayu Pulau Pinang mengecewakan.
Mohd Sabri Said.



Situasi politik di Pulau Pinang berkocak lagi. Kali ini bukan mengenai skandal kepimpinan pemerintah atau pembangkang sebaliknya isu kemasukan ahli baru di kalangan parti pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR).

Memang kita tahu PKR menyasarkan akan menawan Pulau Pinang dalam pergelutan dengan Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya umum ke-12 nanti. Itu sudah menjadi harapan mengunung penasihatnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa menutup Kongres PKR yang diadakan di Hotel Equatorial, Pulau Pinang dua tahun lalu.

Adakah ia akan menjadi realiti, semuanya tertakluk kepada gerak kerja untuk menambat hati semua masyarakat untuk memilih pembangkang bagi menjatuhkan BN yang sekian lama membebankan rakyat dengan pengagihan kekayaan yang tidak sekata, penipuan, kroni dan sebagainya.

Sekarang ini kemasukan keahlian PKR kian bertambah terutamanya kaum Cina dan India. Di merata tempat ada sahaja gerombolan kaum berkenaan menyertai PKR. PKR di Pulau Pinang bagaikan 'goreng pisang panas'.

Terbaru kemasukan 300 kaum India di Parlimen Kepala Batas yang dikuasai Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak sekian lama. Akan datang kaum cina pula dikatakan akan mengubah haluan menyokong pembangkang.

Dua bulan lalu banyak kaum India menyertai PKR di Nibung Tebal kira-kira 1000 orang dan di Padang Tembak sebelah pulau iaitu Parlimen Bukit Bendera kaum Cina turut melakar sejarah tersendiri apabila 1300 orang bertindak demikian kerana tidak senang dengan percaturan politik yang dimainkan oleh Abdullah yang secara terang terangan memberi kekayaan kepada kroninya, Dato' Patrick Lim untuk membangunkan tapak Lumba Kuda di Batu Gantung dengan projek mega Penang Global City Centre (PGCC).

Tetapi, yang anehnya mana perginya orang Melayu yang sudah lama tertindas, mereka seolah tidak berganjak daripada terus berpeluk pada tiang Umno walaupun sudah condong menanti rebah.

Dunia orang Melayu tidak macam pemikiran orang India dan Cina yang mementingkan bangsa tanpa mengira politik asalkan bangsa mereka terpelihara dan selamat. Lihatlah apa yang terjadi pada Sekolah Jenis Kebangsaan (C) SIn Chung, Permatang Sintuk, Kepala Batas. Kini tersergam indah empat tingkat berbading dulunya usang dan buruk.

Sewaktu sekolah berkenaan diancam dirobohkan oleh kontraktor untuk tujuan pembangunan rumah kedai dan perumahan semua tokoh politik parti Cina turun membantu. Apakah senario ini berlaku sekiranya Sekolah Agama Rakyat (SAR) diancam sedemikian rupa.

Pastinya tidak, yang menanti, menunggu dan mempertahan ialah golongan yang ada jiwa agama macam orang PAS atau penyokongnya manakala Umno pula tentunya di belakang kontraktor yang rakus.

Semuanya ini berpunca daripada ketidakprihatinan terhadap isu berbanding kaum Cina dan India yang lebih terasa walaupun mereka diketogarikan bukan bumiputra.

Masyarakat Melayu dari dulu ketika Tengku Razaleigh Hamzah mendayung Parti Melayu Semangat 46 hanya berapa kerat sahaja kelompok Melayu yang bingkas bangun dari tidur.

Begitu juga zaman reformasi tidak semua sedar bahkan waktu itu hanya negeri tertentu sahaja yang terasa bahang kemenangan. Di Pulau Pinang ternyata di Parlimen Permatang Pauh ia berlaku apabila menang satu kerusi parlimen dan dua kerusi Dun. Pada pilihan raya ke-11 lalu tinggal satu kerusi parlimen dan satu Dun.

Walhal di negeri ini ada 12 kerusi Melayu yang boleh mencapai kemenangan sekiranya orang Melayu mahukan perubahan tetapi apakan daya mereka masih leka dengan projek pembangunan tanpa menyedari setiap pembangunan yang wujud langkah Melayu makin kebelakang mencari tempat lain yang lebih murah untuk mendiami.

Tidak hairanlah kini orang Melayu di Pulau Pinang tidak prihatin sebaliknya lebih rela berpeluk tubuh melihat apa yang akan dan bakal berlaku.

Orang Melayu di sini nyata masih berada di awangan bila tiba setiap kali tempoh pilihan raya umum di mana mereka 'buat dak' bila pembangkang khususnya PKR dan PAS bertandang Merayu undi atau melakukan gerak gepur.

Kerusi Melayu di Penaga, Pinang Tunggal, Bertam, Permatang Berangan, Sungai Dua, Penanti, Seberang Jaya, Sungai Bakap, Sungai Acheh, Teluk Bahang, Pulau Betong dan Permatang Pasir patut dijadikan sasaran jika mahukan pertambahan kerusi untuk Dun Pulau Pinang penggal akan datang.

Orang Melayu yang kampung mereka sudah tergadai atau terpaksa tinggal di flat harus berfikir membantu pembangkang untuk mengubah acuan pemerintahan di negeri Mutiara Timur itu.

Berilah mandat baru seperti slogan PKR 'Ubah Sebelum Parah, Ubah Demi Maruah' bersama pembangkang lain seperti PAS dan DAP untuk memacu sosio ekonomi negeri ini ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang dalam erti kata sebenar.

Jangan harapkan masyarakat Cina dan India sahaja peka dengan isu, golongan Melayu juga harus bersedia untuk melakukan perubahan pemerintahan agar BN tidak angkuh dan besar kepala menindas rakyat tanpa budi bicara.

Jika Cina dan India boleh bertindak drastik, bila lagi masa untuk orang Melayu berbuat sesuatu demi maruah serta menyelamatkan kedudukan negeri dan negara daripada terus musnah ditelan arus kesombongan kepimpinan yang rakus. - mns

Tiada ulasan: