HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 Januari 2008

Krishnasamy pernah diugut - Samy Vellu.
Oleh Suffian Abu Bakar.


SEGAMAT - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini mendedahkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Datuk S. Krishnasamy, 62, yang mati ditembak di bangunan MIC, Jalan Segget semalam pernah menerima ugutan daripada pihak tertentu.

"Dia (mendiang) pernah beritahu saya ada orang ugut dia melalui panggilan telefon dan saya nasihatkan dia agar lebih berhati-hati.

"Bila sudah menjadi ahli politik, kita semua akan menerima ugutan seperti ini. Saya juga menerima antara 10 dan 15 panggilan setiap hari daripada orang yang tidak dikenali dan memarahi kita, tetapi apa yang berlaku semalam terhadap mendiang dikira sudah melampau," katanya.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir terhadap mendiang Krishnasamy di rumahnya di Bandar Putra IOI, di sini hari ini.

Dianggarkan lebih 3,000 orang terdiri daripada pemimpin politik dan masyarakat pelbagai kaum dan parti memenuhi pekarangan rumah mendiang seawal pukul 7 pagi ini untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang yang tiba dari Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, tengah malam tadi.

Antara yang hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S. Sothinathan yang juga Naib Presiden MIC; Pengerusi MIC Johor, Datuk K.S Balakrishnan serta Ahli Parlimen Segamat, Datuk Dr. S. Subramaniam.

Mayat mendiang Krishnasamy kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Hindu di Ladang Serom, Batu 13, Jalan Tangkak-Segamat, dekat sini pukul 4 petang ini untuk upacara pembakaran.

Justeru, Samy Vellu menasihati semua pemimpin MIC termasuk ADUN dan ahli Parlimen supaya sentiasa berwaspada dengan tahap keselamatan diri kerana kejadian seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk dirinya.

Mengenai tahap keselamatan di semua bangunan MIC di seluruh negara, beliau telah meminta semua kawalan keselamatan di semua pintu masuk bangunan dan pejabat parti itu dipertingkatkan termasuk melantik pengawal keselamatan yang lebih bertanggungjawab.

"Saya terkejut dengan kawalan keselamatan sedia ada yang tidak ketat, bagaimana orang bebas keluar masuk bangunan itu, menaiki lif dan melakukan perbuatan keji itu serta terlepas lari begitu saja?. Jika ini boleh terjadi kepada mendiang, tidak mustahil ia boleh berlaku kepada orang lain," ujarnya.

Bagaimanapun, Samy Vellu enggan mengulas ketika ditanya sama ada kematian Krishnasamy akan memberi kesan terhadap persiapan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga menolak sebarang spekulasi bahawa pembunuhan itu bermotifkan politik dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak polis segera menyiasat dalang di sebalik pembunuhan Krishnasamy agar penjenayah terbabit dapat didakwa segera di mahkamah.

Sambil menyifatkan pembunuhan itu sebagai kejam, Samy Vellu mahu supaya kes itu tidak tertutup begitu sahaja seperti yang pernah berlaku terhadap kes bekas ADUN Lunas, Dr. Joe Fernandez yang mati ditembak pada 4 November 2000.

"Saya mahu polis memandang serius tentang hal ini iaitu penjenayah membunuh dan melarikan diri untuk tempoh lebih lima atau enam tahun (kes Joe Fernandez) dan sehingga kini masih tidak dapat dikesan dan akhirnya kes itu ditutup," katanya.

Samy Vellu memberitahu, mendiang Krishnasamy sempat menghubunginya melalui telefon kira-kira pukul 10 pagi semalam untuk berjumpa dengannya pada minggu depan.

Namun, hasrat Timbalan Pengerusi MIC Johor itu tidak kesampaian setelah mati ditembak petang semalam dan kejadian itu nyata memberi kesan kepada MIC.

"Ini kerana beliau (mendiang) merupakan seorang pemimpin yang kuat bekerja untuk rakyat dan berjasa kepada penduduk telah dibunuh oleh mereka yang tidak bertangungjawab.

Krishnasamy, 62, mati ditembak dalam lif bangunan MIC Johor di Jalan Segget, Johor Bahru ketika menuju ke tingkat dua bangunan itu bagi menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan MIC negeri.

Mayat beliau dalam keadaan berlumuran darah ditemui tertiarap pukul 2.10 petang semalam.

Tiada ulasan: