Larangan hingga Perhimpunan Agung UMNO.
PEKAN – Larangan mengadakan lawatan ke luar negara terhadap semua pemimpin UMNO tidak hanya pada pilihan raya umum akan datang, malah ia dikuatkuasakan sehingga Perhimpunan Agung parti itu tahun ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana Perhimpunan Agung parti yang diadakan selepas pilihan raya umum ini, akan menyaksikan pemilihan di semua peringkat.
‘‘Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan di Ibu Pejabat UMNO baru-baru ini.
‘‘Arahan ini kita keluarkan supaya semua pemimpin UMNO memberi komitmen yang tinggi dalam kerja-kerja parti sama ada sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum atau pemilihan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 813 orang mangsa banjir di Dewan Konvensyen di sini hari ini.
Najib mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang mengeluarkan larangan kepada semua pemimpin UMNO daripada mengadakan lawatan ke luar negara berkuat kuasa serta-merta.
Larangan itu bertujuan memastikan semua pemimpin dan ahli parti menumpukan persiapan menghadapi pilihan raya umum.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, larangan itu bukan peraturan baru kerana ia akan dikuatkuasakan setiap kali menjelang pilihan raya umum atau pemilihan parti.
Bagaimanapun, tambah beliau, UMNO tidak melarang pemimpin dan ahlinya mengadakan lawatan ke tempat-tempat tertentu dalam negara ini.
Sementara itu ketika berucap merasmikan Majlis Peletakan Batu Asas PPTC Fakulti Sains dan Teknologi UKM, di Pekan, Najib berkata, Tasik Chini yang mengalami masalah pencemaran dan kepupusan flora bakal dipulih dan dibangunkan sebagai salah satu pusat ekopelancongan di bawah program Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Katanya, pemulihan itu akan dilakukan dengan kerjasama kerajaan negeri, Kerajaan Pusat dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui penubuhan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menurut beliau, tasik tersebut wajar dipelihara kerana ia merupakan salah satu daripada warisan negara yang dibanggakan selama ini.
‘‘Sebelum ini Tasik Chini dikenali dengan bunga teratainya yang tumbuh melata, tetapi hari ini bila saya tinjau keadaan tasik dengan helikopter, saya tidak dapat lihat walaupun satu bunga teratai.
‘‘Saya amat sedih dengan keadaan ini, kita mesti ambil langkah untuk selamatkan Tasik Chini supaya warisan ini dapat kita kekalkan,” katanya
Najib berkata, selain masalah itu, air tasik tersebut yang selama ini jernih dan berwarna hijau telah bertukar coklat akibat pencemaran.
‘‘Saya juga difahamkan ada bau busuk di sekeliling tasik, keadaan ini mesti diatasi segera, Tasik Chini perlu diselamatkan,” ujar beliau.
Katanya, kerajaan menyambut baik cadangan penubuhan PPTC yang disifatkan sebagai langkah pertama untuk memulihkan tasik itu dalam usaha menjadikan Tasik Chini sebagai destinasi pelancongan di Pahang.
Najib berkata, sekiranya Tasik Chini berjaya dipulihkan, rakyat Pahang khususnya di sekitar tasik tersebut bakal mendapat pelbagai faedah termasuk suku kaum Orang Asli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan