Masalah kurang minyak masak selesai minggu ini.
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberi jaminan bahawa masalah kekurangan bekalan minyak masak yang meruncing di pasaran sekarang akan selesai menjelang akhir minggu ini.
Menterinya Datuk Mohd Shafie Apdal berkata ini berikutan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran tempatan kini telah ditambah kepada 70,000 tan sebulan berbanding 50,000 tan sebelum ini yang merupakan satu jumlah yang besar dan lebih daripada mencukupi.
Katanya negeri-negeri yang terjejas teruk seperti Kelantan, Pahang dan Terengganu telah dapat diatasi manakala di negeri-negeri lain, pengagihan bahan keperluan itu sedang dilakukan.
"Kita bukan hanya mempertingkatkan keupayaan kita untuk mengeluarkan minyak masak seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi kita juga akan mempertingkatkan penguatkuasaan di peringkat sempadan bagi membendung penyeludupan keluar minyak masak," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.
Semalam, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan kuota pengeluaran minyak bersubsidi dengan ketara dan mengagihkannya secara lebih berkesan pada peringkat runcit bagi menangani kekurangan bahan itu di pasaran.
Kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran berlaku sejak beberapa minggu lalu terutama di Kedah, Pahang, Melaka dan Kelantan sebelum melarat ke Lembah Klang.
Ditanya kemungkinan berlaku kekurangan bekalan tepung pula, Mohd Shafie menegaskan bahawa bekalan bahan keperluan itu mencukupi di pasaran.
Semalam, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia Datuk Ramalingam Pillai berkata tiada lagi roti canai mulai minggu depan kerana mereka sudah kehabisan bekalan tepung gandum dan sukar untuk mendapatkan bekalan pada harga yang munasabah.
Katanya pemborong mengenakan harga antara lebih RM5 dan RM15 daripada harga kawalan RM33.60 bagi satu beg 25kg tepung, sambil menyatakan kekurangan bekalan bahan itu meruncing di bandar-bandar kecil.
Mohd Shafie berkata beliau telah menghubungi Ramalingam dan beliau (Ramalingam) bersetuju untuk datang ke pejabatnya untuk membincangkan lebih lanjut mengenai isu itu. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan