HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Januari 2008

RM75 juta pasang CCTV di tempat berisiko.
Oleh NORILA DAUD.


KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan peruntukan khas sebanyak RM75 juta kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menyediakan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat-tempat awam berisiko tinggi kejadian jenayah.

Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, peruntukan itu diluluskan pada 2 Januari lalu untuk diagih-agihkan kepada 25 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Menurutnya, peruntukan khas daripada Kementerian Kewangan itu diberikan kepada PBT berkenaan berikutan kadar jenayah yang tinggi dicatatkan di kawasan-kawasan tertentu berbanding tempat lain.

Beliau berkata, antara negeri yang dikenal pasti mencatat kejadian jenayah yang tinggi termasuklah Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor.

“Sesetengah PBT melengkapkan CCTV di tempat-tempat lazim berlaku jenayah tetapi tidak berfungsi dengan baik atau jumlahnya tidak mencukupi di samping tidak dipantau dengan sempurna.

“Bagaimanapun terdapat 12 majlis bandar raya seperti Kuala Lumpur yang mempunyai sumber kewangan yang mencukupi telah melengkapkan CCTV di kawasan-kawasan kerap berlaku kejadian jenayah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Hartanah Malaysia 2008 di sini hari ini.

Berikutan peningkatan kejadian jenayah kebelakangan ini kata Ka Ting, sudah tiba masanya Kerajaan Pusat membantu PBT yang tidak berkemampuan untuk membeli CCTV dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.

Menurut Ka Ting, pihaknya sedang menimbang untuk menyewa sistem dan penyelengaraan CCTV yang bermutu tinggi kerana untuk membeli kesemuanya adalah mahal.

Dalam pada itu kata beliau, pihaknya juga sedang berusaha mendapatkan model CCTV yang harganya berpatutan dan boleh dipantau oleh pihak polis.

Beliau juga memberitahu, satu jawatan kuasa khas akan ditubuhkan untuk mendapatkan syarikat yang boleh melengkapkan CCTV yang diperlukan menerusi sistem tender.

Bagaimanapun katanya, CCTV tersebut akan diletakkan di kawasan berisiko tinggi yang akan ditentukan oleh pihak polis.

Tiada ulasan: