HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Januari 2008

Semua permohonan universiti kini secara `online’.
Oleh HELMI MOHD FOAD.


PUTRAJAYA . - Permohonan kemasukan ke universiti-universiti awam bagi semua program sesi pengajian 2008/2009 perlu dibuat sepenuhnya secara aplikasi dalam talian, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

Menurut beliau, mulai tahun ini lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi diberikan pilihan mengisi borang permohonan secara manual seperti tahun lalu.

Menurutnya, dasar baru tersebut didapati berfungsi dengan baik apabila pendaftaran fasa pertama bagi lepasan SPM yang dibuka pada November hingga Disember lalu mencatatkan 97,639 pemohon.

Katanya, jumlah itu adalah 65 peratus daripada keseluruhan 150,000 calon yang dianggarkan diterima oleh Bahagian Kemasukan Jabatan Pengajian Tinggi bagi sesi akademik tahun ini.

``Kita telah membuka permohonan ini lebih awal bagi memastikan tidak berlaku kesesakan trafik aplikasi dalam talian sebagaimana yang terjadi tahun lalu.

``Pada tahun lepas, kita akui terdapat masalah talian yang terlalu sibuk dan berlaku kegagalan `server' tetapi ia tidak melibatkan masalah besar, cuma kesesakan terjadi pada waktu tertentu,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai beberapa penambahbaikan proses permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tahun ini.

Sebelum ini, permohonan kemasukan ke universiti menggunakan aplikasi dalam talian dilaksanakan ke atas lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) manakala sebanyak 77.7 peratus pemohon lepasan SPM didapati menggunakan sistem tersebut bagi sesi akademik tahun lalu.

Menurut Mustapa, fasa kedua permohonan kemasukan lepasan SPM dan STPM bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda akan dibuka pada 4 Februari ini mulai pukul 12 tengahari hingga 10 hari bekerja selepas keputusan SPM 2007 diumumkan.

Tambahnya, permohonan bagi program pengajian lepasan STPM untuk kategori Diploma pula dibuka mulai 7 Januari hingga 7 Februari ini.

Katanya, bagi memasuki sistem itu, semua calon perlu mendapatkan nombor pengenalan (ID) dengan membelinya di kaunter-kaunter dan mesin pengeluaran automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.

``Sekiranya tahun lalu, calon-calon terpaksa beratur panjang untuk membeli ID di kaunter-kaunter BSN, tahun ini kita membuat penambahbaikan apabila mereka boleh membelinya di 627 ATM BSN dengan harga sebanyak RM10 bagi lepasan SPM manakala RM15 untuk STPM,'' katanya.

Bagaimanapun Mustapa menjelaskan, meskipun aplikasi dalam talian dilaksanakan sepenuhnya, kementerian tetap akan memberikan pertimbangan ke atas kes-kes sebenar yang dirujuk kepadanya.

``Kita akan memberikan pertimbangan terutama kepada calon-calon dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

``Namun berdasarkan jumlah pendaftaran tahun lalu, kita dapati lebih 50 peratus pemohon adalah dari kawasan pedalaman, ini menunjukkan kesedaran mengenai sistem itu telah meningkat,'' katanya.

Kata beliau, bagi membantu calon-calon yang menghadapi masalah untuk memasuki sistem dalam talian, kementerian menyediakan talian bantuan 03-88835801 dan 03-88835802.

``Kakitangan yang bertugas akan membantu pelajar-pelajar memasukkan data permohonan berasaskan maklumat kad pengenalan dan nombor ID mereka,'' katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, kementerian masih mengadakan rundingan dengan pihak IPTA berhubung jumlah tempat yang bakal ditawarkan kepada calon-calon terbabit.
``Kita mahu meneliti kemampuan setiap universiti dalam melakukan pengambilan,'' katanya.

Dari segi kelayakan calon, kata Mustapa, kementerian masih mengekalkan syarat kelulusan akademik sebanyak 90 peratus manakala baki 10 peratus berasaskan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum di sekolah.

Sementara itu beliau berkata, ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI) bagi pemohon program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Pendidikan pada tahun ini akan dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dan bukan lagi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

``Ini selaras dengan kredibiliti MPM sebagai pengendali peperiksaan awam di negara ini,'' katanya.

Tiada ulasan: