S'gor peruntuk RM10 juta untuk PBT bantu cegah jenayah.
KLANG: Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM10 juta dalam usaha mempersiapkan pegawai penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membantu polis mengurangkan kadar jenayah dalam negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Beliau berkata peruntukan bagi tempoh setahun yang bermula bulan ini melibatkan pelantikan pegawai penguatkuasa baru, latihan, pembelian peralatan dan kenderaan.
Katanya pegawai penguatkuasa itu akan melakukan rondaan di kawasan-kawasan yang mempunyai kadar jenayah tinggi dan melaporkan terus kepada balai polis berhampiran, sekiranya mereka mengesan sebarang kejadian jenayah.
"Pegawai penguatkuasa PBT hanya bantu buat rondaan sahaja, macam Rukun Tetangga bantu polis. Mereka tidak boleh bertindak seperti polis kerana tidak mempunyai kuasa polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata para penguatkuasa itu akan dilengkapi dengan motosikal dan juga alat perhubungan seperti walkie talkie bagi memudahkan mereka berhubung terus dengan balai polis dalam usaha memendekkan tempoh kehadiran polis ke tempat kejadian jenayah.
Mohamad Khir berkata demikian selepas merasmikan seminar sehari `Bajet 2008 dan Peluang Perniagaan di Selangor' anjuran kerajaan negeri bersama Gabungan Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pantai Selangor.
Beliau berkata jumlah pegawai penguatkuasa yang akan disediakan bergantung kepada kawasan yang terlibat dan tumpuan utama rondaan akan diberikan kepada kawasan di sekitar Klang, Subang Jaya, Ampang Jaya dan Petaling Jaya.
Mohamad Khir berkata kesemua penguatkuasa yang dipilih akan dilatih dalam tempoh empat bulan di pusat latihan penguatkuasa negeri dengan kerjasama polis.
Sementara itu mengulas arahan yang dikeluarkan Umno yang melarang semua pemimpinnya daripada melakukan lawatan ke luar negara, Mohamad Khir berkata Umno Selangor sudah melaksanakan larangan itu sejak tahun lepas.
"Kita memang sudah keluar arahan awalawal lagi, sejak tahun lepas, yang tidak membenarkan ahli politik dan pegawai kerajaan ke keluar negara, sebagai persiapan pilihan raya. Kami sudah bersedia, dan yakin akan kembali mentadbir negeri selepas pilihan raya," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan